Selasa, 20 April 2021 | 11:35pm
 Peniaga bazar Ramadan di kawasan Jambatan Angkat mengemas kerusi dan meja selepas pengunjung di larang berbuka puasa di kawasan lapang berhampiran lokasi itu. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Peniaga bazar Ramadan di kawasan Jambatan Angkat mengemas kerusi dan meja selepas pengunjung di larang berbuka puasa di kawasan lapang berhampiran lokasi itu. - Foto NSTP/Baharom Bakar

Peniaga rayu benarkan buka puasa di kawasan lapang

KUALA TERENGGANU: Peniaga bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini merayu kerajaan negeri membenarkan pengunjung berbuka puasa di kawasan lapang berhampiran tapak bazar yang dilihat akan membantu meningkatkan jualan.

Peniaga mendakwa sebelum pandemik COVID-19, beberapa kawasan lapang termasuk berhampiran Jambatan Angkat, Dataran Shah Bandar dan Pantai Batu Burok antara lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa.

Orang ramai biasanya akan membeli belah di bazar Ramadan berhampiran dan berbuka puasa bersama ahli keluarga di kawasan lapang. Bagaimanapun, tahun ini aktiviti itu tidak dibenarkan.

Seorang peniaga, Muhammad Nur Syazwan Azmi, 22, berkata jualan pelbagai jenis minuman di gerainya merosot ketara berikutan arahan itu.

"Kami berjanji untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui di tapak bazar Ramadan berhampiran Jambatan Angkat atau Drawbridge, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Mohd Azwan Hussin, 32, berkata dia memilih berniaga di tapak bazar Ramadan di kawasan Jambatan Angkat kerana lokasi itu kebiasaannya menjadi tumpuan pengunjung membeli juadah dan berbuka puasa di kawasan lapang berlatar belakangkan menara jambatan.

Fazal Basri, 30, pula berkata semua keperluan termasuk surau sementara dan tandas bergerak disediakan untuk kemudahan pengunjung menunaikan solat selepas berbuka puasa.

"Kami menyediakan lima kanopi dan menyediakan meja serta kerusi untuk kemudahan pengunjung berbuka puasa.

"Kami bagi pihak peniaga merayu agar kerajaan melonggar dan membenarkan pengunjung berbuka puasa di kawasan berhampiran tapak bazar Ramadan," katanya.

Berita Harian X