Ahad, 18 April 2021 | 1:10pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Segerakan skim lindungi pendapatan petani, nelayan

Kuala Lumpur: Selepas beberapa kali tertangguh, kerajaan diminta menyegerakan kemudahan skim perlindungan insurans khusus untuk petani, penternak dan nelayan yang berdepan risiko kerugian atau hilang pendapatan, terutama disebabkan bencana alam seperti banjir.

Desakan itu dibuat beberapa persatuan yang mewakili komuniti agrotani yang berpendapat, tiba masanya Malaysia mempunyai skim perlindungan insurans bagi menjaga kebajikan penggiat sektor pertanian.

Malah, ketika ini, belum ada syarikat insurans di negara ini menawarkan polisi insurans untuk sektor pertanian, sedangkan negara pertanian lain seperti Vietnam, Filipina, Indonesia, India dan China sudah mempunyai kemudahan berkenaan.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata skim perlindungan insurans untuk sektor agrotani adalah penting kerana penggiat sektor tani sering berdepan pelbagai musibah seperti banjir, kemarau dan serangan penyakit.

Katanya, menjadi tanggungjawab kerajaan mengurus dan menjaga kebajikan petani sebagai penggiat utama dalam pengeluaran hasil makanan negara. "Jika kebajikan petani dipinggirkan, ia akan memberi kesan domino atau menjejaskan rantaian pembekalan, keselamatan serta kedaulatan makanan negara," katanya ketika dihubungi BH.

Cadangan memperkenalkan skim insurans berkenaan dibuat ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), disusuli ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bermula 2018 hingga awal 2020.

Ia kembali dicadangkan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada 12 Mac lalu.

Ronald juga dipetik berkata, oleh kerana ketiadaan insurans pertanian, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM80 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang kehilangan hasil akibat bencana alam di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), iaitu angka amat besar yang harus ditanggung kerajaan saban tahun.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, meskipun berlaku perubahan pentadbiran atau pertukaran menteri bertanggungjawab terhadap sektor berkenaan, inisiatif untuk menjaga kepentingan kumpulan yang terbabit secara langsung dalam rantaian bekalan makanan negara perlu diberi keutamaan.

"Kami sebagai pesawah berdepan banyak masalah, bukan sahaja kerenah birokrasi dalam agensi kerajaan tertentu, malah juga di lapangan termasuk tanaman diserang penyakit dan makhluk perosak serta ancaman perubahan cuaca setiap tahun sehingga menjejaskan hasil serta pendapatan," katanya.

Penasihat Kehormat Persatuan Penternakan Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Arif turut bersependapat dan mahu pelaksanaan skim insurans berkenaan direalisasikan dalam masa terdekat.

Ini kerana, beliau berkata, pengusaha penternakan ayam sentiasa berdepan risiko dan memerlukan sokongan kewangan sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangka.

"Kita tak ada insurans penyakit ternakan. Kalau ada pun, insurans untuk reban ayam dan itu pun agak terpilih, bukan semua polisi insurans ada (lindungi ternakan).

"Kalau kena bencana, kami terpaksa tanggung kerugian sangat besar. Contohnya, kalau bencana seperti penyakit, kerugian terpaksa ditanggung bukan sikit dan ayam boleh mati. Kalau kena penyakit, ayam dalam satu reban boleh mati," katanya.

Sehubungan itu, insurans menyeluruh untuk sektor tani adalah jalan terbaik dan perlu dipercepatkan kerana ia sebagai satu jaminan untuk penternak bergiat lebih aktif.

Bagi Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan banyak sektor ekonomi termasuk pertanian, wajar menjadi batu loncatan kepada pelaksanaan skim perlindungan insurans agrotani.

"Skim perlindungan insurans untuk petani ini satu langkah yang amat baik dan saya sangat berharap ia tidak tertangguh lagi. Impak pandemik COVID-19 terhadap pelbagai sektor perlu dijadikan dorongan kuat untuk kerajaan mempercepatkan lagi skim insurans ini," katanya.

Sementara itu, sumber industri berkata, penyediaan skim perlindungan insurans untuk penggiat sektor pertanian dan agromakanan 'bergerak' perlahan iaitu pada tahap antara 20 hingga 30 peratus atau masih di peringkat pengumpulan data golongan sasar.

"Ia tertangguh disebabkan kesukaran mendapatkan butiran penggiat sektor pertanian atau tiada data lengkap mengenai golongan sasar.

"Data lengkap ini perlu dianalisis terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat seterusnya, iaitu sesi rundingan dengan syarikat insurans," katanya.

Sumber berkata, pelbagai data diperlukan untuk mewujudkan skim insurans seperti itu, antaranya bilangan petani di negara ini, keluasan kawasan pertanian, jenis bencana, kekerapan berlaku bencana, anggaran kos kerugian dan sebagainya.

Beliau berkata, isu pencarum juga penting iaitu sama ada dicarum oleh kumpulan sasar sendiri, kerajaan atau ada peruntukan subsidi yang disediakan.

"Skop perlindungan juga perlu diperinci dan diperluaskan, bukan sahaja mereka yang menghadapi masalah kerosakan tanaman akibat banjir atau kemarau, malah turut meliputi hasil tanaman rosak akibat serangan serangga atau penyakit, misalnya bena perang ke atas tanaman padi," katanya.

Berita Harian X