Sabtu, 17 April 2021 | 9:51pm
Huzir (kanan) bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) pada sidang media tangkapan kartel baru-baru ini. - Foto hiasan BERNAMA
Huzir (kanan) bersama Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) pada sidang media tangkapan kartel baru-baru ini. - Foto hiasan BERNAMA

Bekas Inspektor fitnah polis ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan semalam kerana dipercayai menyebarkan fitnah membabitkan kumpulan kartel dan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Laporan yang tular di media sosial itu bertajuk 'Maklumat kumpulan kartel Bahagian D7 JSJ Bukit Aman terbabit salah guna kuasa, melindungi, bersubahat, bersekongkol dan menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang'.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata bekas pegawai berusia 33 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah, jam 11.24 malam.

Turut dirampas beberapa barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, pemacu simpanan mudah alih atau 'pendrive', kad sim dan gajet lain yang kemudian dihantar ke makmal forensik polis untuk tujuan analisa.

Hasil siasatan mendapati suspek sudah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) di bawah Op Mualang dilaksanakan Bahagian D7 JSJ Bukit Aman bagi mencegah aktiviti kongsi gelap di Klang, Selangor.

"Suspek juga dikesan membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota Bahagian D7 Gengsterisme Bukit Aman. Suspek bertindak sebegini kerana marah, tidak puas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang mengambil tindakan terhadap beliau hingga diberhentikan kerja.

"Suspek dikenakan tindakan hukuman pengawasan selama dua tahun di Alor Setar mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, laporan itu ditularkan secara meluas sejak dua minggu lalu menimbulkan keraguan serta kegusaran kepada masyarakat kerana dakwaan wujud aktiviti salah laku membabitkan polis.

Sehubungan itu, katanya, polis menasihatkan orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi, andaian tidak berasas dan tidak benar, selain diingatkan tidak menyebarkan isu tular di media sosial bagi mengelak kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Berita Harian X