Sabtu, 17 April 2021 | 3:57pm

COVID-19: 2,331 kes baharu, Selangor tertinggi

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,331 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini 372,859 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor terus mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 751 kes setakat tengah hari tadi.

Beliau berkata, ia disusuli Sarawak dengan 512 kes, Kuala Lumpur (252) dan Kelantan (225) manakala tiada kes baharu direkodkan di Terengganu.

"Hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 751 kes (32.2 peratus) dan daripada jumlah ini, sebanyak 623 kes (83.0 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 512 kes (22.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 252 kes (10.8 peratus).

"Sebanyak 39 kes (1.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Lenggeng (24 kes), Kluster Jalan Salleh (11 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (tiga kes), dan Kluster DTI Sandakan (satu kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebanyak 225 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 92 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 12 kes dikesan membabitkan kes import iaitu tujuh warganegara dan lima bukan warganegara manakala 2,098 daripada 2,319 kes penularan tempatan adalah warganegara (90.5 peratus) dan 221 bukan warganegara (9.5 peratus).

Dalam pada itu, sebanyak 1,832 kes pulih daripada jangkitan COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhan seramai 352,395 pesakit atau 94.5 peratus daripada kes dilaporkan di negara ini, sudah sembuh sepenuhnya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima kes kematian hari ini iaitu masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah, serta satu kes di Sarawak. Semua kes membabitkan warganegara berusia antara 61 hingga 86 tahun serta menghidap pelbagai penyakit kronik.

Berita Harian X