Sabtu, 17 April 2021 | 11:49am
 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama

Kadar Rt terus meningkat, 1.18 direkodkan semalam

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) mengikut kes seharian di seluruh negara terus menunjukkan trend peningkatan apabila Rt 1.18 direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Terengganu mencatatkan kadar kebolehjangkitan Rt 1.34 iaitu yang paling tinggi berbanding negeri lain.

"Pecahan Rt mengikut negeri iaitu antara negeri yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi selain Terengganu ialah Kelantan (1.30), Sarawak (1.28), Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing 1.22, Putrajaya (1.19).

"Rt di negeri lain ialah Selangor 1.04, Pulau Pinang (0.90), Johor (0.95), Melaka dan Perak (1.09), Negeri Sembilan (1.08), Kedah (1.07) dan Pahang (1).

"Manakala di Perlis terdapat dua kes COVID-19 direkodkan dan Labuan satu kes," katanya di Facebook.

Melalui paparan grafik di laman Facebook Dr Noor Hisham, trend peningkatan Rt mula dikesan sejak Ahad lalu dengan 1.06 direkodkan sebelum naik kepada 1.07 pada Isnin, 1.09 (Selasa), Rabu (1.14) dan Khamis (1.17).

Sejak tempoh 1 Mac lalu, nilai Rt terendah pernah direkodkan di negara ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Berdasarkan carta, kadar kebolehjangkitan COVID-19 boleh melonjak kepada Rt 2 menjelang Mei jika amalan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan virus itu tidak dipatuhi.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menjangkakan negara bakal mencapai kadar kurang Rt 1 menjelang bulan depan.

Namun, Isnin lalu, KKM mengakui unjuran kes COVID-19 kepada 500 menjelang Mei sukar dicapai kerana kemerosotan terhadap pematuhan SOP.

Berita Harian X