Jumaat, 16 April 2021 | 11:24am
Pengunjung beratur menunggu giliran untuk masuk ke bazar Ramadan Batu Burok yang menggunakan sistem nombor. - Foto NSTP/ZAID SALIM
Pengunjung beratur menunggu giliran untuk masuk ke bazar Ramadan Batu Burok yang menggunakan sistem nombor. - Foto NSTP/ZAID SALIM

Kadar kebolehjangkitan terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 mengikut kes seharian semalam, terus meningkat kepada 1.17, berbanding 1.14 pada hari sebelumnya.

Ini peningkatan berturut-turut nilai Rt sejak 10 April lalu, susulan peningkatan kes COVID-19 yang direkodkan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan data yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twittter hari ini, Terengganu terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 tertinggi dengan nilai Rt 1.49, berbanding negeri lain.

Ini diikuti Kelantan dengan nilai Rt 1.35, Putrajaya (1.25), Sabah (1.24), Sarawak (1.19), Kuala Lumpur (1.15) dan Melaka (1.11).

Selain itu, Perak (1.07), Kedah (1.05), Negeri Sembilan (1.04), Pahang (1.04) dan Selangor (1.03).

Hanya tiga negeri mencatatkan nilai Rt di bawah satu iaitu Labuan (0.95), Johor (0.93) dan Pulau Pinang (0.89), manakala Perlis hanya mencatatkan satu kes.

Semalam, sebanyak 2,148 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara iaitu jumlah tertinggi sejak Mac lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 367,977 kes.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan dua lagi kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 yang dikesan di Malaysia, menjadikan jumlah kes bagi varian itu sebanyak lima kes setakat ini.

Berita Harian X