Khamis, 15 April 2021 | 12:29pm

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 1.14

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 pada jangkaan mengikut kes seharian di seluruh negara semalam, meningkat kepada 1.14, berbanding 1.09 pada hari sebelumnya.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akaun twitter hari ini, Terengganu mencatatkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 tertinggi dengan nilai Rt 1.30, berbanding negeri lain.

Ia diikuti Kelantan dengan nilai Rt 1.27, Putrajaya (1.26), Sabah (1.21), Sarawak (1.19), Perlis (1.17), Kuala Lumpur (1.15), Kedah (1.08), Negeri Sembilan (1.06) dan Perak (1.06).

Selain itu, enam negeri mencatatkan nilai Rt di bawah satu iaitu Selangor (0.98), Labuan (0.97), Pahang (0.96), Melaka (0.91), Johor (0.90) dan Pulau Pinang (0.89).

Berdasarkan data berkenaan, nilai Rt negara menunjukkan peningkatan sejak 10 April lalu, susulan peningkatan kes COVID-19 yang direkodkan sejak kebelakangan ini.

Semalam, sebanyak 1,889 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh negara, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 365,829 kes.

Selangor mencatat kes harian tertinggi dengan 517 kes, diikuti Sarawak (489) dan Kelantan (226).

Sementara itu, seramai seramai 1,078,695 individu menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan 425,164 individu menerima dos kedua vaksin COVID-19 manakala seramai 653,531 individu pula menerima dos pertama.

Jumlah yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin pula mencecah 8.8 juta orang atau 36.10 peratus daripada sasaran ditetapkan.

Berita Harian X