Selasa, 13 April 2021 | 4:51pm

Rapid KL tebang pokok risiko tumbang

KUALA LUMPUR: Rapid KL akan menebang pokok berisiko tumbang di sepanjang jajaran atas tanah Laluan Ampang/Sri Petaling bagi mengurangkan gangguan perkhidmatannya seperti berlaku semalam.

Dalam kejadian itu, perkhidmatan tren di laluan berkenaan terganggu selama beberapa jam susulan insiden dahan dan pokok tumbang yang menghempap trek.

Rapid KL berkata sebanyak 20 ke 25 pokok berisiko sudah dikenal pasti untuk ditebang sepanjang kawasan trek yang terletak di atas tanah laluan berkenaan.

Katanya, aktiviti penebangan pokok di dalam jajaran sudah dijalankan Rapid KL sejak 2019, di sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras.

"Pokok ini akan ditebang dan dipangkas bagi mengurangkan kemungkinan insiden dahan dan pokok tumbang menghempap trek dan mengganggu perkhidmatan tren.

"Pihak Rapid KL memohon maaf di atas gangguan perkhidmatan yang berlaku.

"Rapid KL akan meneruskan kerja penebangan pokok ini sehingga selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling mengalami gangguan berikutan 13 pokok tumbang dan menimpa trek laluannya sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras.

Kejadian jam 6.39 petang berikutan hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir itu menyebabkan dua LRT terkandas di tengah landasan berhampiran stesen Maluri dan Cheras.

Rapid KL berkata, seramai 1,150 penumpang yang terkandas dalam kejadian itu berjaya dikeluarkan dengan selamat dari kedua-dua tren pada jam 10.20 malam.

"Kerja menyelamat dan mengeluarkan penumpang yang terkandas terpaksa dilakukan secara berhati-hati berikutan keadaan permukaan tanah licin dan berbecak di samping risiko panahan petir.

"Kerja pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek adalah selamat sudah dilakukan sepanjang malam tadi.

"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Rapid KL bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang telah dialami kedua-dua tren itu," katanya.

Rapid KL berkata, ia akan bekerjasama dengan pihak ketiga termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi membersihkan pokok yang berada di luar jajarannya.

"Rapid Rail akan bekerja rapat dengan semua pihak berkaitan kerana keselamatan penumpang adalah keutamaan kami," katanya.

Berita Harian X