Ahad, 11 April 2021 | 1:02pm
Laporan akhbar BH baru-baru ini.
Laporan akhbar BH baru-baru ini.

KSU, KP perlu laksana arahan akhir bulan ini

PUTRAJAYA: Semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan diminta untuk melaksanakan pusingan kerja dalaman sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pegawai yang layak selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pelaksanaan proses pusingan kerja itu antara lain bertujuan mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Ia juga boleh meningkatkan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat.

"Malah, ia juga untuk menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran dalam kalangan pegawai terbabit yang mana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya mereka," katanya kepada BH, semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto NSTP
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto NSTP

Mohd Khairul berkata, pelaksanaan pusingan kerja itu juga adalah bagi memperluas lagi rangkaian (networking) pegawai kerana ia dapat membantu mempermudahkan mereka melaksanakan tugas jawatan masing-masing.

"Pertukaran ini juga membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baharu yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi berkenaan.

"Selain itu, mereka juga boleh mendapat tugas yang sesuai dengan minat, kebolehan, latihan dan pengalaman mereka supaya dapat mencapai penghasilan kerja maksimum," katanya.

Pelaksanaan pusingan kerja itu dibuat selaras dengan Pekeliling dan Surat Edaran Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 2004 bagi panduan Pertukaran Pegawai Awam.

"Ia juga selaras dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pertukaran Dalaman atau Pusingan Kerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Gunasama Persekutuan Yang Berkhidmat di Bahagian Pembangunan dan Perolehan bertarikh 26 November 2009 serta Surat Edaran Pelaporan Pusingan Kerja di Kementerian/Jabatan/Agensi bertarikh 9 Januari 2020," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairul turut meminta semua ketua jabatan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan sebarang salah laku dalam kalangan pegawai kanan seliaan mereka dapat ditangani dengan lebih berkesan selari dengan peraturan semasa.

"Sekiranya seseorang penjawat awam didapati bersalah oleh mahkamah bagi kesalahan jenayah rasuah dan salah guna kuasa, Pihak Berkuasa Tatatertib boleh mengenakan hukuman sehingga buang kerja selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), P.U.(A)395/1993," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menyarankan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan pusingan kerja membabitkan pegawai di jawatan sensitif susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sindiket kartel projek yang memonopoli tender kerajaan sejak 2014 dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion.

Berita berkaitan:

  • Tukar kakitangan awam setiap 5 hingga 7 tahun
  • Berita Harian X