Ahad, 4 April 2021 | 2:43pm
 Mohd Redzuan menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada murid dalam kawasan DUN Durian Tunggal pada program Jelajah Pak Wan Prihatin di Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah, hari ini.- NSTP/Hassan Omar
Mohd Redzuan menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada murid dalam kawasan DUN Durian Tunggal pada program Jelajah Pak Wan Prihatin di Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah, hari ini.- NSTP/Hassan Omar

PKRC MAEPS tidak ditutup walaupun kes COVID-19 menurun

ALOR GAJAH: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, tidak akan ditutup walaupun kes COVID-19 mencatatkan aliran penurunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof, sebaliknya berkata, pusat berkenaan terus beroperasi khususnya bagi menempatkan mereka yang positif COVID-19 tetapi tidak bergejala.

Katanya, setakat semalam, ada 1,702 pesakit ditempatkan di MAEPS.

"Di Dewan A ada 2,960 katil dengan bilangan pesakit sifar, manakala Dewan B ada 630 katil (105 pesakit), Dewan C 988 katil (347 pesakit), Dewan D1 1,400 katil (500 pesakit) dan Dewan DG 1,300 katil (717 pesakit).

"Jumlah kumulatif pesakit setakat semalam ialah 71,761 orang dengan 60,061 daripadanya adalah lelaki dan bakinya 11,700 wanita," katanya selepas merasmikan program Jelajah Pak Wan Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kampung Pantai Belimbing, di sini, hari ini.

Selain beramah mesra dengan anggota komuniti, Mohd Redzuan turut menyampaikan sumbangan bahan makanan dan menziarahi penduduk yang sakit di beberapa kampung.

Semalam sebanyak 1,638 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan dengan Perak mencatat angka tertinggi membabitkan 494 kes dan disusuli Selangor yang merekodkan 352 kes serta Sarawak (290).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kes berkenaan membabitkan 1,631 penularan tempatan dan tujuh kes import, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 349,610 jangkitan dengan 14,432 kes aktif.

Mohd Redzuan berkata, PKRC MAEPS diaktifkan semula untuk pesakit berisiko rendah dan tidak bergejala mulai 9 Disember 2020 serta tiada jangkaan operasinya akan ditamatkan.

Berita Harian X