Ahad, 4 April 2021 | 9:57am
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Kadar kebolehjangkitan kembali catat lebih 1.0

KUALA LUMPUR: Lonjakan kes baharu COVID-19 selama tiga hari berturut-turut menyaksikan kadar kebolehjangkitan (Rt) pandemik itu di negara ini meningkat kepada 1.02 setakat semalam.

Ia adalah kali pertama Rt COVID-19 di negara ini kembali mencatatkan nilai melebihi 1.0 dalam tempoh dua bulan, apabila merekodkan nilai 1.09 pada 4 Februari lalu.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook malam tadi, nilai Rt itu mencatatkan peningkatan tiga hari berturut-turut, daripada 0.95 pada Khamis lalu kepada 0.97 kelmarin dan 1.02 semalam.

Peningkatan itu menyaksikan jangkitan COVID-19 kini berada pada unjuran meningkat dan jika Rt melonjak kepada 1.2, kes baharu di negara ini dijangka menghampiri 3,000 kes sehari menjelang hujung bulan depan, khususnya jika prosedur operasi standard (SOP) diabaikan.

Bagaimanapun, nilai Rt boleh diturunkan melalui pematuhan SOP dan jika ia turun kepada 0.8, jumlah kes baharu COVID-19 diunjurkan menjadi dua angka menjelang akhir bulan depan.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan lima negeri mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan semalam, manakala dua negeri merekodkan nilai Rt 1.0.

Perak mencatatkan nilai Rt tertinggi dengan 1.61, disusuli Labuan (1.34), Pahang (1.30), Putrajaya (1.29) dan Kelantan (1.07), manakala Melaka dan Sarawak merekodkan Rt 1.0.

Selain itu, tujuh negeri mencatatkan Rt melebihi 0.90 iaitu Sabah (0.99), Kedah (0.97), Pulau Pinang (0.93), Johor (0.93), Selangor (0.92), Kuala Lumpur (0.92) dan Negeri Sembilan (0.91).

Terengganu pula merekodkan Rt terendah semalam dengan 0.56, dan Perlis mencatat nilai kosong kerana tiada kes baharu.

Kes baharu jangkitan COVID-19 mencatatkan peningkatan ketika ini, daripada 1,178 kes pada Khamis lalu kepada 1,294 kelmarin dan 1,638 semalam.

Berita Harian X