Jumaat, 2 April 2021 | 2:05pm
Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mampu diturunkan sekiranya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan beberapa peraturan lain membabitkan aktiviti ekonomi dan sosial.- Foto hiasan NSTP
Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mampu diturunkan sekiranya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan beberapa peraturan lain membabitkan aktiviti ekonomi dan sosial.- Foto hiasan NSTP

10 negeri catat kadar kebolehjangkitan COVID-19 melebihi purata kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 di Malaysia mencatatkan nilai 0.95 semalam, namun sebanyak 10 negeri dan wilayah mencatatkan kadar Rt melebihi purata kebangsaan.

Ia berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, tengah malam tadi, yang menunjukkan jumlah negeri yang melebihi purata Rt kebangsaan meningkat berbanding hanya sembilan negeri semalam dan lapan negeri antara 26 Mac hingga kelmarin.

Kadar tertinggi dicatatkan Labuan dengan 1.30, disusuli Pahang (1.17), Kelantan (1.10), Pulau Pinang (1.09), Melaka (1.09), Kedah (1.04), Putrajaya (1.02), Sabah (1.02), Sarawak (0.99) dan Kuala Lumpur (0.97), di samping

Johor yang merekodkan nilai sama dengan purata kebangsaan iaitu 0.95.

Bagaimanapun, nilai Rt kebangsaan masih berada pada unjuran menurun dan jika ia mampu diturunkan sehingga ke tahap 0.8, jumlah kes harian COVID-19 dijangka mencatat dua angka menjelang akhir bulan depan.

Data itu menegaskan nilai Rt mampu diturunkan sekiranya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan beberapa peraturan lain membabitkan aktiviti ekonomi dan sosial.

Bagaimanapun, sekiranya nilai Rt kebangsaan melonjak kepada 1.2, jumlah kes harian COVID-19 diunjurkan menghampiri 3,000 sehari sekiranya SOP diabaikan.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Berita Harian X