Rabu, 31 March 2021 | 6:40pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Bekerja dari rumah perlu, bantu kekang penularan COVID-19

KUALA LUMPUR: CUEPACS berpendapat arahan bekerja dari rumah (BDR) masih perlu dilaksana dan diamalkan oleh semua majikan termasuk sektor swasta dan awam kerana ia membantu mengekang penularan wabak COVID-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bagi mengelakkan tercetus kluster baharu di tempat kerja memandangkan ketika ini kes COVID-19 masih lagi mencatatkan empat angka.

Katanya, proses memutuskan rantaian penularan wabak itu melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan masih lagi di peringkat fasa pertama.

Justeru, beliau berkata, langkah BDR itu masih perlu sebelum negara benar-benar pulih atau mencapai imuniti berkelompok.

"BDR ini juga sudah menjadi norma dalam perkhidmatan awam dan amalan ini masih lagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat terus beroperasi seperti biasa.

"Pelaksanaan kali pertama BDR semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu, memberi tempoh mencukupi untuk perkhidmatan membuat beberapa pengubahsuaian terhadap cara kerja di luar pejabat.

"Malah amalan BDR juga membolehkan produktiviti dapat dioptimumkan sebaik mungkin berbanding risiko tercetusnya kluster di tempat kerja yang boleh mengakibatkan keseluruhan operasi ditutup sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata syarikat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja maksimum apabila kerajaan membatalkan arahan pematuhan dasar 30 peratus bekerja dari rumah mulai esok.

Dalam pada itu, kapasiti kehadiran pekerja bagi perkhidmatan awam ke pejabat pula adalah berdasarkan kepada Pekeliling atau arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),

Adnan berkata, majikan di sektor swasta tidak perlu terburu-buru memulakan operasi pada kapasiti 100 peratus walaupun kebenaran sudah diberikan oleh kerajaan.

"Begitu juga di sektor awam, setiap ketua jabatan perlu menguruskan operasi dan sumber manusia dengan sebaiknya.

"Implikasi pembatalan BDR ini cukup besar dan tidak dapat dijangka memandangkan kes COVID-19 masih lagi tinggi.

"Kita tidak boleh mengambil risiko walaupun dengan kehadiran vaksin kerana jumlah mereka yang menerima suntikan masih lagi rendah," katanya.

Berita Harian X