Rabu, 31 March 2021 | 9:39am
ADAM Jaafar (kiri) atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang semalam.
ADAM Jaafar (kiri) atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang semalam.

Prebet Adam meninggal dunia

GEORGETOWN: Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam yang pernah menggemparkan negara kerana mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987, meninggal dunia, semalam.

Adam, 60, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang semalam.

Adik Adam, Arzat Jaafar, memuat naik status disertakan gambar di tanah perkuburan, menerusi Facebook petang, semalam.

"Al-Fatihah buat abangku, Adam Jaafar @ Adam Rembo. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Semoga tenang abang di sana. Al-Fatihah," katanya.

Seorang lagi adik Adam, Anisah Jaafar, memuat naik video dan gambar Allahyarham, menerusi Facebook tengah hari, semalam.

"Telah selamat dikebumikan abangku Adam Rambo. Arwah meninggal dunia pada pagi tadi (semalam), Al-Fatihah. Semoga arwah tenang di sana, Amin," katanya.

Sementara itu, BERNAMA memetik adik Adam, Hawa, 56, sebagai berkata, abangnya meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Datuk Keramat selepas solat Zohor.

"Sebelum ini abang memang tiada sakit apa-apa, Allahyarham sihat sahaja cuma kadang-kadang demam, itu biasalah...cuma minggu lepas dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Hawa berkata Adam, anak sulung daripada lapan beradik, adalah seorang abang yang sentiasa mengambil berat tentang adik-beradik lain dan mereka sekeluarga sedih dengan pemergian abangnya itu.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987, pernah menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Pada 2018, isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik 'individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri'.

Susulan itu, adik Adam, Hawa dilaporkan memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden itu dan menyatakan Adam mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.

Hawa dipetik menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai 'caddy' golf kepada Almarhum, kononnya menjadi punca Adam mengamuk di ibu negara.

Berita Harian X