Khamis, 25 March 2021 | 5:35pm
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad merasmikan Muzakarah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 di Pusat Islam Iskandar - Foto NSTP/Omar Ahmad
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad merasmikan Muzakarah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 di Pusat Islam Iskandar - Foto NSTP/Omar Ahmad

Pendaftaran terima vaksin rendah di Johor

JOHOR BAHRU: Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera di negeri ini masih rendah iaitu hanya 27 peratus.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pada ketika ini hanya 700,000 rakyat Johor yang sudah berdaftar untuk proses vaksinasi yang meliputi 27 peratus menerusi Aplikasi MySejahtera.

Katanya pelaksanaan program vaksinasi itu memberi nilai tambah dan kesan terhadap usaha untuk membuka semula sempadan negara Malaysia-Singapura.

"Jumlah itu masih rendah jika hendak dibandingkan liputan internet yang merangkumi 90 peratus. Sepatutnya pendaftaran kita berada pada kadar yang lebih tinggi.

"Di Johor ini perlu melipat gandakan usaha untuk berdaftar sebagai penerima vaksin. Ini kerana dari segi pendaftaran ini masih lagi rendah.

"Kita tahu bahawa sasaran kerajaan 80 peratus penduduk menerima vaksin. Apa yang saya difahamkan menerusi pertemuan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka bincangkan soal sijil vaksin.

"Mereka juga bincangkan soal RGL untuk diteruskan semula. Dua permintaan ini sedang dipertimbangkan oleh Singapura. Kalau kita dapat gambarkan pendaftaran lebih ramai dan tinggi, saya yakin boleh sumbang untuk buka sempadan dengan lebih cepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Muzakarah Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Pada Selasa, kedua-dua menteri itu melakukan pertemuan di Putrajaya yang bersetuju mempercepatkan program vaksinasi masing-masing.

Menurut Hasni, usaha meningkatkan pendaftaran proses vaksinasi perlu dipertingkatkan di peringkat daerah dengan membuka pusat pendaftaran.

Katanya usaha itu tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaan atau jabatan tertentu sahaja.

"Langkah yang diambil lipat ganda di daerah untuk membuka pusat pendaftaran. Bukan serah kepada Pejabat Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Negeri Johor saja.

"Selain kaedah MySejahtera, setengah tempat hadapi kesukaran untuk daftar secara atas talian. Kaedah manual boleh dilakukan, kerjasama dari ketua kampung dan penghulu.

Saya yakin lebih ramai yang akan berdaftar untuk terima vaksin," katanya memaklumkan sudah selesai mengambil suntikan kedua vaksin pada jam 10.51 pagi tadi di Pusat Pemberian Vaksin Johor Bahru di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda, di sini.

Berita Harian X