Khamis, 25 March 2021 | 4:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Data tersalah masuk, tidak bocor

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengakui berlaku kesilapan petugas di kaunter pendaftaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang secara tidak sengaja memasukkan nombor kad pengenalan seorang wanita, sehingga berlaku pertindihan maklumat.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku.

"Bagaimanapun ingin dijelaskan bahawa tidak terdapat sebarang kebocoran dalam data peribadi individu berkenaan.

"Kami sudah membuat langkah-langkah pembetulan berhubung butiran wanita berkenaan sebagai individu yang sudah menerima vaksin. Proses validasi sistem dilakukan dari semasa ke semasa sebagai langkah kawalan kualiti.

"Petugas barisan hadapan yang sudah menerima vaksin berkenaan sudah dimaklumkan dan datanya juga sedang dikonsolidasi di dalam sistem," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini tular di media sosial seorang wanita mendakwa mahu mendaftar untuk pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera, namun terkejut mendapati beliau direkodkan sebagai sudah menerima suntikan pada 3 Mac di Klinik Kesihatan Selising.

Wanita itu mendakwa, mengikut data itu, beliau perlu mendapatkan suntikan vaksin kali kedua semalam, sedangkan beliau bukan terdiri daripada petugas barisan hadapan.

Berita Harian X