Rabu, 24 March 2021 | 11:55am
Peniaga diberi penerangan panduan pendaftaran program vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera oleh petugas Jabatan Penerangan Sabah di Pasar Besar Kota Kinabalu. Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ
Peniaga diberi penerangan panduan pendaftaran program vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera oleh petugas Jabatan Penerangan Sabah di Pasar Besar Kota Kinabalu. Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ

Kadar kebolehjangkitan Labuan paling tinggi

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara setakat semalam, kekal 0.98 dengan Labuan mencatat Rt tertinggi pada 1.82.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter, berkata Pahang merekodkan nilai Rt kedua tertinggi iaitu 1.31, diikuti Melaka (1.24), Kedah (1.16), Kelantan (1.11) dan Pulau Pinang (1.03).

Negeri-negeri yang mencatat bacaan bawah 1.0 ialah Sarawak (0.98), Kuala Lumpur (0.94), Terengganu dan Selangor masing-masing 0.91, Sabah (0.87), Johor (0.85), Perak (0.78) dan Negeri Sembilan (0.67).

Semalam, kes baharu positif COVID-19 dilaporkan masih pada empat angka dengan 1,384 kes, selain enam kematian direkodkan.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Dr Noor Hisham berkata pandemik COVID-19 antara krisis kesihatan terbesar dalam sejarah semasa manusia.

"Pelbagai garis panduan kesihatan awam serta prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan.

"Namun, paling penting ialah mematuhi semua langkah dan SOP itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X