Isnin, 22 March 2021 | 8:43pm
Khairy (kanan) dan Dr Adham ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini. FOTO BERNAMA
Khairy (kanan) dan Dr Adham ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini. FOTO BERNAMA

Perjanjian fasa ketiga perolehan vaksin Pfizer dimeterai - Dr Adham

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah memeterai perjanjian fasa ketiga perolehan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, perjanjian itu membabitkan 30 peratus perolehan tambahan selepas pemerolehan 20 peratus vaksin itu ditandatangani pada fasa kedua perjanjian sama bagi mendapatkan 32 juta vaksin berkenaan.

"Kerajaan baru menandatangani perjanjian menambah (dos) vaksin, sebanyak 30 peratus. Sebelum ini ada 1.6 juta dos atau 10 peratus. Kini kita meterai perjanjian dengan Pfizer untuk membeli 12.2 juta dan tujuh juta dos vaksin.

"Secara keseluruhan kita akan memperoleh vaksin daripada Pfizer sebanyak 31.9 juta dos," katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Malaysia akan menerima 32 juta dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech, jumlah untuk separuh penduduk negara, iaitu dua dos setiap individu.

Khairy pula sebelum ini dilaporkan berkata, penghantaran semua 32 juta dos vaksin COVID-19 itu akan dibuat pada tahun ini.

Mengulas perjanjian untuk memperoleh vaksin keluaran Sinovac, Dr Adham berkata, ia sebagai tambahan kepada 200,000 dos vaksin diperoleh secara langsung dari China sebelum ini termasuk 100,000 yang diterima hari ini.

Beliau berkata, perjanjian dengan Sinovac untuk memperoleh 12 juta dos vaksin COVID-19 keluaran syarikat itu yang dibotolkan di negara ini juga sudah ditandatangani.

"Maknanya kita ada hampir 60 peratus vaksin selain diperoleh daripada AstraZeneca," katanya.

Berita Harian X