Ahad, 21 March 2021 | 1:38pm

PEMERKASA usaha berterusan sokong pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion memperlihatkan usaha berterusan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan strategi pemulihan ekonomi negara 6R bagi menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Pendekatan 6R merangkumi ketegasan (Resolve); ketahanan (Resilient); memulakan semula (Restart); pemulihan (Recovery); memperkasa (Revitalise); dan menyusun semula (Reform).

PEMERKASA adalah program tambahan pemulihan ekonomi terkini kerajaan selepas melaksanakan lima pakej rangsangan bernilai lebih RM600 bilion termasuk Belanjawan 2021 yang diumumkan tahun lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata kerajaan sungguh komited dalam menyokong pemulihan ekonomi dan perniagaan di negara ini daripada impak negatif pandemik dalam menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Beliau berkata, dasar ekonomi bercampur-campur dilihat membuahkan hasil dengan ekonomi negara ini menampakkan pengukuhan dan pertumbuhan dijangka berlegar antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus atau lebih tinggi.

Katanya, beberapa pemerhatian utama dilihat dalam beberapa bulan lalu iaitu momentum meningkat ekonomi; permintaan domestik yang meningkat; perkilangan semakin pulih; saham penjagaan kesihatan meningkat dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

"Kerajaan merangsang perniagaan tempatan. Langkah pengawalan pergerakan juga dilonggarkan dan vaksin COVID-19 juga dilaksanakan dengan enam peratus penduduk sudah mendaftar.

"Ini menunjukkan dasar ekonomi kerajaan yang bercampur menjana hasil dimahukan untuk trajektori pertumbuhan positif," katanya mengulas langkah rangsangan ekonomi terkini kerajaan.

Sementara itu, firma penyelidik tempatan, MIDF Research berkata, secara keseluruhan, PEMERKASA dilihat sebagai perangsang sentimen kepada prestasi ekonomi tahun ini.

Ia berkata, komitmen kerajaan dalam meningkatkan peruntukan bagi program imunisasi kebangsaan kepada RM5 bilion berbanding RM3 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok kepada Disember 2021 berbanding sasaran awal pada suku pertama 2022, adalah pemangkin kepada sentimen pengguna dan perniagaan.

"Kami berpandangan sokongan berterusan kerajaan memacu ekonomi dan meningkatkan keyakinan sebagai pemangkin kepada unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini. Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.4 peratus buat masa ini," katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata bantuan dan insentif yang diumumkan di bawah PEMERKASA dilihat sebagai maklum balas kerajaan terhadap keluhan beberapa golongan tertentu yang masih terjejas sepanjang setahun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Oleh itu, beliau berkata, bantuan kali ini bersifat lebih bersasar dan wang yang disalurkan juga bersifat bantuan langsung.

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata PEMERKASA lebih berorientasikan analisis data.

Justeru, beliau berkata, dengan pemantauan data secara lebih dekat, PEMERKASA adalah maklum balas kepada golongan dan sektor ekonomi yang masih terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan juga kesan daripada PKP serta larangan rentas negeri yang masih lagi berkuat kuasa.

"Sebab itulah golongan rentan, golongan B40, peniaga PKS, dan juga sektor pelancongan misalnya, menjadi fokus utama dalam pakej rangsangan yang terbaru ini.

"Pada ketika ini bagi saya mencukupi. Namun, pada masa hadapan, bentuk bantuan tambahan serta golongan sasar yang diberikan mestilah berdasarkan maklum balas dan perolehan analisis data yang dibuat," katanya.

Mengulas mengenai impak pakej rangsangan terkini terhadap kedudukan fiskal, Irwan Shah berkata, impak pakej rangsangan baharu itu kepada sasaran fiskal tidak begitu serius memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi yang dijangka lebih baik tahun ini, prospek pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global yang positif, serta peningkatan dalam harga minyak dunia baru-baru ini.

Beliau berkata, pakej itu perlu dan ia adalah kesinambungan kepada lima pakej rangsangan sebelum ini.

"Kerajaan juga masih mempunyai keupayaan untuk memperkenalkan pakej rangsangan baharu pada masa depan jika keadaan memerlukan memandangkan jangkaan tahap fiskal dan hutang negara masih lagi agak terkawal," katanya.

Berita Harian X