Ahad, 21 March 2021 | 10:19am
Foto hiasan
Foto hiasan

Kes harian COVID-19 meningkat sejak empat hari lalu

KUALA LUMPUR: Trend peningkatan kes harian COVID-19 sejak empat hari lalu menyaksikan kadar kebolehjangkitan (Rt) pandemik itu di negara ini turut meningkat kepada 0.94 setakat semalam.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, nilai Rt di Malaysia meningkat daripada 0.87 pada Khamis lalu, kepada 0.90 kelmarin, sebelum mencecah 0.94 semalam.

Ia selaras peningkatan kes baharu COVID-19 minggu ini, yang semakin menghampiri tiga angka pada Selasa lalu dengan 1,063 kes, namun meningkat kepada 1,219 (Rabu), 1,213 (Khamis), 1,576 (Jumaat) dan 1,671 semalam.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan, tujuh negeri semalam mencatatkan Rt lebih tinggi daripada nilai kebangsaan, berbanding hanya enam negeri kelmarin.

Tujuh negeri yang mencatatkan Rt lebih tinggi daripada nilai kebangsaan adalah Labuan (1.15), Kedah (1.14), Pulau Pinang (1.12), Melaka (1.07), Terengganu (1.07), Sarawak (1.01) dan Kelantan (0.97), manakala Putrajata dan Perlis mencatatkan nilai Rt kosong kerana tiada kes baharu.

Daripada tujuh negeri itu, nilai Rt Pulau Pinang mencatatkan peningkatan ketara daripada 0.98 kelmarin, kepada 1.12 semalam, yang menggambarkan risiko penularan COVID-19 di negeri berkenaan semakin meningkat.

Satu lagi data yang dikongsi Dr Noor Hisham mengunjurkan jumlah kes baharu COVID-19 berisiko menghampiri 3,000 sehari pada hujung Mei depan, jika nilai Rt negara terus meningkat dan mencecah 1.2.

"Kita masih belum keluar daripada wabak ini. Patuhi semua langkah yang disarankan (elakkan 3C, amalkan 3W) dan berdaftarlah untuk menerima vaksin.

"Ketika ini, apa yang pasti adalah ketidaktentuan, dan apa yang boleh dijangka adalah perkara yang sukar diramalkan," kata Dr Noor Hisham.

Berita Harian X