Sabtu, 20 March 2021 | 2:16pm

COVID-19: 6 negeri catat Rt tinggi

KUALA LUMPUR: Enam negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 lebih tinggi daripada nilai Rt kebangsaan yang berada pada tahap 0.9 setakat semalam.

Menurut data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook malam semalam, enam negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Sarawak dan Labuan merekodkan nilai Rt lebih tinggi daripada 0.9.

Melaka merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.09 semalam, disusuli Labuan (1.08), Kedah (1.06), Sarawak (1.05), Terengganu (1.04) dan Pulau Pinang (0.98).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Nilai Rt Malaysia yang berada pada kadar 0.9 masih berada pada kedudukan positif kerana kekal dibawah angka satu, selaras trend penurunan kes harian COVID-19.

Namun, nilai Rt 0.9 itu adalah peningkatan meningkat berbanding 0.87 kelmarin, dan 0.88 Rabu lalu. Nilai Rt antara 13 hingga 16 Mac lalu pula konsisten pada kadar 0.87.

Berdasarkan unjuran data yang dikongsi Dr Noor Hisham, kes baharu harian COVID-19 boleh mencecah antara 5,000 hingga 10,000 kes jika nilai Rt melonjak kepada 1.2.

Namun, jika Rt berjaya diturunkan kepada 0.8, data itu mengunjurkan kes harian COVID-19 akan turun menjelang awal Mei.

Berita Harian X