Jumaat, 19 March 2021 | 3:05pm
Noraini (tengah) pada majlis Program Malaysia Prihatin Bersama Menteri Pengajian Tinggi di IPTHO, Batu Pahat. - Foto ESSA ABU YAMIN
Noraini (tengah) pada majlis Program Malaysia Prihatin Bersama Menteri Pengajian Tinggi di IPTHO, Batu Pahat. - Foto ESSA ABU YAMIN

KPT puas hati IPT ikut SOP

BATU PAHAT: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpuas hati dengan tahap pematuhan standard prosedur operasi (SOP) yang dilaksanakan di semua institut pengajian tinggi (IPT) dalam menerima kemasukan pelajar ke kampus yang dilaksanakan pada awal bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, daripada keseluruhan kira-kira 1.3 juta pelajar di seluruh negara, seramai 44,000 orang dilaporkan sudah berada di kampus manakala kira-kira 4,800 orang pula tinggal di luar kampus.

"Pilihan diberikan sepenuhnya kepada pelajar sama ada mahu atau tidak untuk kembali ke kampus bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid mereka," katanya pada sidang media Program Malaysia Prihatin Bersama Menteri Pengajian Tinggi di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussien Onn (IPTHO) dekat sini.

Enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi dibenarkan ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac lepas bagi mengikuti PdP hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noraini berkata, kementeriannya akan melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa serta Kad Siswa Prihatin yang akan diberikan secara percuma kepada pelajar IPT di seluruh negara dalam masa terdekat.

"KPT berhasrat memantapkan fungsi kad matrik pelajar sebagai kad pelbagai guna yang turut berfungsi sebagai kad debit dan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti e-dompet dan transaksi tanpa tunai serta diskaun.

"Kad Siswa Prihatin itu adalah satu daripada agenda yang diusulkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu, bagi memartabat serta memperkasakan mahasiswa di IPT," katanya.

Berita Harian X