Khamis, 18 March 2021 | 7:12pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap ketika sidang media khas di Kementerian Kewangan, Putrajaya - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap ketika sidang media khas di Kementerian Kewangan, Putrajaya - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PEMERKASA penghubung terbaik strategi 6R

PUTRAJAYA: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) menjadi jambatan terbaik kepada kerajaan ke arah pelaksanaan strategi menyusun semula (reform) yang terkandung dalam 6R.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pakej rangsangan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam tetap menjadi sebahagian pendekatan strategi 6R, sebagai panduan kerajaan dalam tangani COVID-19 dan mengurus kelangsungan ekonomi.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa, terdapat keperluan untuk melaksanakan program tambahan bagi memulihkan ekonomi negara secara lebih mampan.

"Walaupun impak Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) tidak sebesar PKP 1.0 dengan anggaran kerugian kepada ekonomi RM300 juta sehari, masih terdapat keperluan membantu beberapa sektor yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya, selain sebahagian rakyat masih terjejas.

"Berdasarkan kefahaman tinggi dan data raya terkumpul menerusi pelaksanaan pakej rangsangan sebelum ini, kerajaan tampil dengan PEMERKASA yang turut menjadi strategi kerajaan pasca PKP," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan PEMERKASA bernilai RM20 bilion dengan RM11 bilion daripadanya adalah suntikan fiskal langsung kerajaan.

Menerusi PEMERKASA, kerajaan menetapkan lima fokus utama iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi.

Menerusi pakej rangsangan bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara, 20 inisiatif baharu dan sedia ada akan dilaksana menyentuh pelbagai bidang serta usaha bagi mengawal COVID-19, selain memperluas penerima manfaat khususnya kepada kumpulan B40, wanita, belia serta orang kelainan upaya (OKU).

Beberapa inisiatif yang sebelum ini diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lalu juga ditambah baik dengan pemberian peruntukan tambahan bagi pelaksanaan selepas ini.

Antaranya, Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 diperluas untuk satu juta lagi usahawan, lanjutan Program Subsidi Upah (PSU), bantuan kepada kontraktor G1 hingga G4 ditingkatkan serta pemberian tunai sekali bayar kepada kumpulan sasar yang kehilangan kerja daripada kelompok B40 serta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan pendekatan 6R iaitu strategi bagi menangani krisis

COVID-19 dan memulihkan ekonomi. Ia merangkumi ketegasan (Resolve); ketahanan (Resilient); memulakan semula (Restart); pemulihan (Recovery); memperkasa (Revitalise); dan menyusun semula (Reform).

Selain PEMERKASA bernilai RM20 bilion, sehingga ke hari ini, kerajaan telah melaksanakan enam pakej rangsangan bernilai lebih RM600 bilion termasuk Belanjawan 2021 yang diumumkan tahun lalu.

Menyentuh mengenai PEMERKASA, Tengku Zafrul berkata, antara pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan adalah meningkatkan peruntukan vaksin kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion, selain peruntukan tambahan kepada Program Imunisasi berjumlah RM1.5 bilion.

Malah, katanya, kerajaan menetapkan sasaran baharu dalam program vaksinasi dengan mewujudkan stok penimbal 40 peratus dan mengekalkan tahap imuniti berkelompok 80 peratus penduduk Malaysia dengan tempoh pelaksanaan sehingga Disember 2021.

"Kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk projek berskala kecil merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan memanfaatkan kontraktor G1 hingga G4.

"Daripada jumlah peruntukan ini juga, kerajaan akan menggunakan RM1.4 bilion bagi membiayai projek fokus rakyat termasuk projek mesra rakyat, pembaikan jalan perhubungan desa dan penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur perniagaan.

"Baki RM700 juta lagi untuk projek pembaikan infrastruktur dan kemudahan rosak terutamanya akibat banjir dan RM400 juta bagi tujuan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan," katanya.

Beliau menjelaskan, menerusi PEMERKASA juga, kerajaan menambah dana skim mikro kredit untuk pengusaha mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM460 juta.

"Ia juga adalah tambahan kepada peruntukan tahun ini berjumlah RM990 juta. Dalam masa sama kerajaan juga bercadang menurunkan kadar faedah pinjaman kepada tiga peratus berbanding 3.5 peratus sebelum ini," katanya.

Menyentuh mengenai Geran Khas Prihatin (GKP), beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi GKP 3.0 yang akan menyaksikan 1.2 bukan penerima GKP 1.0 dan 2.0 akan menerima bantuan bernilai RM1,000.

"GKP 3.0 akan dibuka untuk permohonan baharu bagi perniagaan yang berdaftar sehingga 28 Februari 2021. Pendaftaran dibuka pada April dengan pembayaran akan dibuat pada Mei," katanya.

Berita Harian X