Khamis, 18 March 2021 | 5:08pm
Tengku Zafrul ketika sidang media khas di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Tengku Zafrul ketika sidang media khas di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Hutang negara masih di bawah had statutori

PUTRAJAYA: Jumlah hutang negara berada pada 54 peratus setakat akhir Februari dan kekal di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu 60 peratus, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, berdasarkan pengiraan had statutori, nisbah hutang kerajaan Persekutuan merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) dijangka pada 58.5 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Akhir Februari, statutori adalah 54 peratus dan hutang keseluruhan 57.8 peratus. Kedua-dua masih di bawah had statutori yang ditetapkan.

"Malah, tahun lalu jumlah hutang negara berada pada 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan kerajaan Pakatan Nasional (PN) melanggar undang-undang had statutori hutang langsung yang dinaikkan sendiri dan tersalah membuat unjuran fiskal.

Menurut Najib di laman Facebook, kerajaan PN mengakui bahawa nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 62.2 peratus pada akhir tahun 2020.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM975 bilion berikutan langkah suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion menerusi pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

"Walaupun dengan mengambil kira PEMERKASA yang menyaksikan hutang negara meningkat, namun kita jangkakan ia akan berada pada 58.5 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar defisit Malaysia dijangka mencecah enam peratus daripada KDNK tahun ini, berbanding unjuran awal 5.4 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menegaskan, negara berupaya untuk mengurangkan defisit fiskalnya dengan memberi menumpukan kepada agenda konsolidasi fiskalnya.

"Buat masa ini, saya percaya penting untuk memastikan ekonomi negara terus berfungsi semasa tempoh krisis kesihatan ini," katanya.

Berita Harian X