Rabu, 17 March 2021 | 4:58pm
Kakitangan Hospital Kuala Lumpur menerima suntikan vaksin COVID-19. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Kakitangan Hospital Kuala Lumpur menerima suntikan vaksin COVID-19. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Individu lengkap vaksinisasi dapat sijil

KUALA LUMPUR: Individu yang mengambil kedua-dua suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, serta lencana imunisasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sijil dan lencana itu bukti individu berkenaan sudah menerima dos vaksin yang lengkap, sekiranya itu menjadi keperluan pada masa depan.

"Hari ini, pemberian dos kedua vaksin COVID-19 akan dimulakan. Kita akan keluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, dan lencana imunisasi COVID-19.

"Lencana dan sijil ini menandakan bahawa individu itu sudah menerima dos kedua dan melengkapkan vaksinasi dan boleh digunakan sebagai bukti.

"Sijil ini tertera nama dan kad pengenalan penerima vaksin, dan tertulis individu berkenaan disahkan sudah menerima vaksin COVID-19," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Adham berkata, lencana imunisasi COVID-19 itu tidak boleh dipalsukan kerana dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tertentu.

"Lencana ini ada kod keselamtan. Jadi tak boleh tiru. (Ciri keselamatan diperlukan) kerana akan membabitkan berjuta-juta orang yang menggunakan lencana ini untuk keperluan masa depan," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyididn Yassin hari ini menjadi individu pertama menerima dos kedua vaksin COVID-19, selepas 21 hari menerima suntikan pertama pada 24 Februari lalu.

Vaksin COMIRNATY keluaran Pfizer-BioNTech yang disuntik kepada petugas barisan hadapan dalam vaksinisasi sekarang memerlukan dua suntikan.

Berita Harian X