Rabu, 17 March 2021 | 3:38pm
Presiden CUEPACS, Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Adnan Mat

'Pegawai rasuah bukan cerminan seluruh kakitangan awam'

KUALA LUMPUR: Penahanan 32 pegawai kerajaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam tidak mencerminkan keseluruhan integriti dan akauntabiliti penjawat awam negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata penerimaan rasuah itu adalah tindakan sebilangan kecil penguat kuasa dan tidak mewakili 1.7 juta warga penjawat awam.

"Kami harap SPRM turut memburu individu atau syarikat yang memberi rasuah kepada pegawai kerajaan, selaras usaha memerangi gejala rasuah di negara ini.

"Dalam soal ini, ia ibarat penawaran dan permintaan, perlu ada yang memberi dan menerima.

"CUEPACS tidak mempertikaikan penahanan penjawat awam yang terbabit dalam rasuah tetapi jika kita benar-benar mahu membanteras salah laku ke akar umbi, perhatian juga perlu diberi kepada pemberi rasuah.

"Jika usaha memburu pemberi rasuah ini diperhebatkan, CUEPACS yakin masyarakat akan lebih takut untuk terbabit dalam salah laku itu," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, SPRM dilapor menahan 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik yang disyaki terbabit melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.

Mengenai langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan agensi penguatkuasaan negara, CUEPACS mencadangkan pegawai JPJ yang bertugas di lapangan dibekalkan dengan kamera badan.

"Penggunaan alat itu bertujuan meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan pihak berkuasa terbabit apabila berurusan dengan orang ramai.

"Kamera badan mampu melindungi petugas daripada bahaya atau tuduhan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

"Perkara ini sudah dicadangkan sebelum ini dan ia langkah baik serta wajar dipercepatkan pelaksanaannya," katanya.

Beliau berkata, CUEPACS mencadangkan setiap organisasi kerajaan mengaplikasikan pengurusan sistematik melalui pensijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) bagi mengenal pasti risiko rasuah di sesebuah organisasi.

"Ia dilakukan berdasarkan fungsi sesebuah jabatan, unit mahupun bahagian dan akan menutup ruang serta peluang rasuah.

"Jika dari awal ruang dan peluang rasuah ditutup, sudah pasti kes rasuah dapat dikurangkan. Jika masih ada yang melakukan rasuah, aduan boleh dibuat melalui saluran pendedahan maklumat atau 'whistleblowing channel'.

"Tiada satu aduan pun akan terlepas pandang kerana keseluruhan sistem akan melalui proses audit yang ketat," katanya.

Berita Harian X