Ahad, 14 March 2021 | 12:03am
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada Program Penyerahan Kunci Rumah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kerjasama Program Jiwa Murni dan Baiti Jannti TNB di Kampung Gelok, Lenggong, hari ini. - Foto FB Shamsul Anuar Nasarah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada Program Penyerahan Kunci Rumah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kerjasama Program Jiwa Murni dan Baiti Jannti TNB di Kampung Gelok, Lenggong, hari ini. - Foto FB Shamsul Anuar Nasarah

Kerajaan kaji semula MESI 2.0

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula inisiatif Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 bagi mengubah struktur industri bekalan elektrik negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ia berikutan pelaksanaan inisiatif MESI 2.0 memberi kesan besar kepada pengguna bekalan elektrik di Semenanjung.

Beliau berkata, kajian semula inisiatif itu bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan pengguna, mesra rakyat dan tidak menambah bebanan kewangan kerajaan dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Tenaga (ST) diberi tanggungjawab membuat kajian memastikan pelaksanaan MESI 2.0 selaras hasrat kerajaan, selain memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.

"MESI 2.0 akan dikaji semula dengan memberi penekanan kepada aspek lebih mesra rakyat dan fokus kepada persediaan industri bekalan elektrik negara untuk menghadapi cabaran daripada kemunculan teknologi disruptif khususnya membabitkan sumber Tenaga Boleh Baharu, seperti solar.

"Keadaan ini penting supaya ia selari dengan keutamaan kerajaan memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi negara kesan pandemik COVID-19 serta meletakkan keutamaan kepada kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

"Mengambil kira situasi dan cabaran baharu kesan COVID-19, terdapat keperluan mendesak bagi memastikan industri bekalan elektrik negara dapat mendepani cabaran masa hadapan, 'future-proof' dan berdaya harap dalam menghadapi cabaran terkini bersifat disruptif tanpa mengubah struktur industri sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Kunci Rumah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kerjasama Program Jiwa Murni dan Baiti Jannti TNB di Kampung Gelok, Lenggong di Perak, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Husaini Husin; Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol dan Pengerusi Pelitawanis TNB, Rozini Wan.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan inisiatif transformasi industri bekalan elektrik menerusi pelaksanaan MESI 2.0, bertujuan meningkatkan kecekapan industri dan tenaga.

Pembaharuan ketara akan dilakukan termasuk membuka kaedah pemerolehan bahan api; pengenalan pasaran elektrik borong, perkhidmatan runcit yang lebih kompetitif dan dagangan tenaga hijau, yang memberi nilai kepada pelabur dan pengguna.

Berita Harian X