Selasa, 9 March 2021 | 5:15pm
 Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bekerja dari rumah tingkat produktiviti - CUEPACS

KUALA LUMPUR: CUEPACS berpendapat kemudahan bekerja dari rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh adalah langkah tepat bagi meningkatkan produktiviti negara.

Presidennya, Adnan Mat, berkata kesatuan menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk memperluaskan kemudahan itu.

Katanya, langkah itu dapat meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam pasaran buruh.

"Berdasarkan statistik semasa ketika ini jumlah penyertaan tenaga buruh membabitkan wanita hanya sekitar 55.3 peratus berbanding 80.7 peratus lelaki dan ini satu jurang yang sangat besar ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan memperluaskan BDR untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.

Semalam Muhyiddin berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan diarahkan untuk menilai perkara berkenaan.

Adnan berkata, cadangan itu memberi sinar baharu kepada golongan wanita di negara ini, sekali gus boleh meningkatkan kesejahteraan isi rumah.

Katanya, JPA dan KSM sewajarnya menyambut baik cadangan itu dengan bertindak membuat penilaian segera.

Dalam masa yang sama, katanya CUEPACS berharap kerajaan dan majikan termasuk di pihak swasta dapat menyediakan persekitaran kerja yang baik bagi melaksanakan konsep BDR.

"Persekitaran kerja yang baik itu termasuk kemudahan capaian internet, komputer riba serta kelengkapan lain seperti yang dinikmati pekerja yang bekerja di pejabat.

"Tiada gunanya jika kita melaksanakan konsep BDR ini tetapi hasil atau produktiviti yang kita harapkan tidak dapat dicapai akibat persekitaran kerja yang tidak sesuai di rumah.

"Pada akhirnya yang dipersalahkan adalah pekerja kerana tidak menepati kriteria produktiviti yang ditetapkan sedangkan mereka ini berhadapan dengan masalah yang kita tidak ketahui," katanya.

Beliau berkata, konsep itu perlu dirangka dengan pendekatan yang menyeluruh supaya tidak menjadi sia-sia.

Berita Harian X