Selasa, 9 March 2021 | 3:33pm
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan menunjukkan buku '365 Hari Pencapaian Menteri Sumber Manusia' ketika sidang media di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - foto BERNAMA
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan menunjukkan buku '365 Hari Pencapaian Menteri Sumber Manusia' ketika sidang media di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - foto BERNAMA

Benar kerja dari rumah sektor tertentu

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji sama ada konsep bekerja dari rumah (BDR) boleh diamalkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti, kata menterinya Datuk Seri M Saravanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia akan membabitkan sesetengah sektor sahaja yang mana prestasi pekerjanya boleh diukur.

Pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu membawa budaya baharu kepada ramai rakyat di negara ini, apabila ramai pekerja dan majikan mengamalkan BDR.

"Kita dapati, dalam sektor-sektor tertentu, walaupun bekerja dari rumah, ia masih berjaya. Perkara ini boleh dicadangkan kepada sesetengah sektor yang kita lihat berjaya," katanya selepas Majlis Sambutan 365 Hari Pencapaian Menteri Sumber Manusia, di kementeriannya, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan berkata kejayaan BDR juga bergantung kepada keikhlasan pekerja. Ia berikutan, apabila budaya BDR diamalkan sejak tahun lalu, ada juga dalam kalangan pekerja mengambil kesempatan.

Selain itu, beliau berkata, BDR juga dilihat boleh mengurangkan kos.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan Hari Wanita 2021 peringkat Kebangsaan, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia diminta mengkaji kesesuaian memperluaskan kemudahan bekerja dari rumah bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh.

Beliau dilaporkan berkata, inisiatif itu antara lain membolehkan kakitangan awam dan swasta menjaga ahli keluarga yang uzur atau sakit atau memberi sokongan kepada isteri menjaga anak yang baru lahir, sekali gus menggalakkan rasa tanggungjawab bersama. Ia juga membolehkan kakitangan wanita kekal dalam sektor pekerjaan dan meningkatkan produktiviti kerja.

Berita Harian X