Ahad, 7 March 2021 | 11:38am
Petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin COVID-19 di Serdang. - NSTP/Aizuddin Saad
Petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin COVID-19 di Serdang. - NSTP/Aizuddin Saad

Vaksin: Hampir 3 juta rakyat sudah daftar

KUALA LUMPUR: Seramai 2,990,577 individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera, sehingga jam 8 pagi ini.

Angka terbaharu itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter, berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Sejak pendaftaran vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dibuka 24 Februari lalu, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.

Ia diikuti dengan Johor 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak 240,630.

Sementera itu, seramai 127,608 individu membabitkan majoriti petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin bagi fasa pertama pelalian di seluruh negara setakat semalam.

Berdasarkan jumlah itu, Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 18,034 individu, disusuli Pahang (13,830), Selangor (11,982), Kelantan (11,680), Kuala Lumpur (11,266), Johor dan Sabah, masing-masing (9,515), Kedah (5,414) serta Pulau Pinang (5,172).

Pemuda UMNO mengadakan Kempen Kesedaran Saya Nak Vaksin COVID-19, di Parit Sulong. - NSTP/Essa Abu Yamin
Pemuda UMNO mengadakan Kempen Kesedaran Saya Nak Vaksin COVID-19, di Parit Sulong. - NSTP/Essa Abu Yamin

Negeri Sembilan pula merekodkan 4,864 individu menerima suntikan, sementara Terengganu (4,675), Melaka (4,312), Putrajaya (2,290), Perlis (2,223) dan Labuan (2,158) individu.

Sebanyak lima kaedah pendaftaran disediakan kerajaan, masing-masing menerusi dalam talian atau secara manual, untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan buku program dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian ialah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah membolehkan masyarakat mendaftar, iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke kemudahan klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan, bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Berita Harian X