Sabtu, 6 March 2021 | 5:18pm
 Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP

Inisiatif kerajaan selamatkan pekerjaan, ekonomi

PUTRAJAYA: Pandemik COVID-19 mengakibatkan kesan sosioekonomi yang belum pernah dialami Malaysia dengan risiko besar kepada kesihatan awam dan kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Namun, dalam tempoh setahun pelaksanaan pelbagai inisiatif dan pakej bantuan oleh kerajaan kepada rakyat dan perniagaan tahun lalu berjaya menyelamatkan banyak pekerjaan, di samping mengurangkan impak kepada ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sebaik kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya, Mac tahun lalu, kerajaan baharu itu membuat perancangan rapi dengan menyusun Strategi 6R, merangkumi enam tahap: Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilient), Menjana Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform).

"Kerajaan melancarkan empat pakej rangsangan tahun lalu merangkumi Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN bernilai RM250 bilion yang dilancarkan pada Mac tahun lalu, diikuti PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN masing-masing pada April, Jun dan September.

"Keempat-empat pakej ini, dengan jumlah suntikan fiskal RM55 bilion dan nilai keseluruhan RM305 bilion, mewakili 22 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya pada sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan di sini, baru-baru ini.

Tengku Zafrul berkata, impak pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan itu membolehkan 2.7 juta pekerjaan berjaya diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU).

Katanya, PSU itu juga memanfaatkan lebih 320,000 majikan dengan sebanyak RM14.4 bilion disalurkan kepada mereka setakat ini.

"Selain itu, menerusi bantuan moratorium automatik selama enam bulan yang mula dilaksanakan pada April tahun lalu membantu aliran tunai seramai 7.7 juta individu dan 243,000 perniagaan menerima manfaatnya membabitkan RM100 bilion.

"Ini kemudian dilanjutkan kepada bantuan pembayaran balik bersasar yang mana seramai 621,000 individu dan 7,000 perniagaan menerima manfaat membabitkan RM51.5 bilion," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan pelbagai jenis inisiatif ini disokong oleh penggunaan data semasa, yang memungkinkan intervensi dan penyelarasan segera untuk memastikan penyampaian yang berkesan.

"PKP kali pertama mengakibatkan penguncupan KDNK sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020. Namun, hasil tindakan pantas kerajaan, ekonomi kita akhirnya mencatatkan kadar penguncupan yang lebih rendah, iaitu 5.6 peratus bagi tahun 2020.

"Langkah ini juga membantu menurunkan kadar pengangguran dari 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.8 peratus pada Disember 2020," katanya.

Berita Harian X