Khamis, 4 March 2021 | 2:50pm
KPT berharap inisiatif portal rumah siswa dapat membantu universiti dan pelajar dalam pengurusan pelajar luar kampus dengan lebih tersusun.
KPT berharap inisiatif portal rumah siswa dapat membantu universiti dan pelajar dalam pengurusan pelajar luar kampus dengan lebih tersusun.

Portal Rumah Siswa bantu pelajar luar kampus dilancar

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Portal Rumah Siswa bagi membantu pelajar universiti awam (UA) yang tidak memperoleh kemudahan penginapan dan perlu menyewa kediaman di luar kampus.

Portal terbabit ialah antara tiga inisiatif utama dalam Agenda Rumah Sewa Siswa, dibangunkan kementerian bagi menangani isu pengurusan dan keselamatan pelajar UA yang tidak tinggal dalam kampus (non-residents).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata portal itu dapat membantu, memantapkan inisiatif ke arah hasrat pemerkasaan, memelihara kebajikan dan akses pelajar, terutama penuntut luar kampus.

Beliau berkata, Portal Rumah Siswa akan menjadi platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudah cara proses pencarian bilik atau rumah sewa di sekitar kampus pada harga kompetitif.

"Hingga 16 Februari lalu, sebanyak 1,250 rumah sudah didaftarkan dalam Portal Rumah Siswa.

"Mahasiswa sudah boleh mula mengakses portal itu menerusi pautan: rumahsiswa.mohe.gov.my," katanya ketika berucap merasmikan Portal Rumah Siswa yang diadakan secara maya, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Noraini berkata, pelaksanaan Agenda Rumah Sewa Siswa menjadi panduan untuk pihak universiti mentadbir, menyelaras dan menguruskan segala keperluan, maklumat, pembangunan serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus, terutama mereka yang menetap di rumah sewa supaya lebih teratur dan menyeluruh.

Selain Portal Rumah Sewa, katanya, dua lagi inisiatif dalam agenda itu ialah Penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus dan Pembangunan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Beliau berkata, hingga semester akademik lalu, pihaknya dimaklumkan bahawa hampir 150,000 mahasiswa UA menetap di luar kampus.

"Saya bersama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Jun lalu.

"Pada pertemuan itu, MPPK mengemukakan 11 agenda untuk perhatian dan tindakan kerajaan bagi memartabat serta memperkasakan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk Agenda Rumah Sewa Siswa.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, kementerian melalui kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia (MAPUM), mengorak langkah memastikan tadbir urus pengurusan pelajar luar kampus dapat diselaraskan di setiap IPT," katanya.

Setakat ini, beliau berkata, kesemua 20 UA di negara ini sudah mewujudkan portfolio baharu bagi Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Pada masa sama, pengenalan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus pula berfungsi sebagai rujukan dalam pengurusan pelajar luar kampus.

"Garis panduan komprehensif ini sangat penting bagi meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus hal ehwal pelajar luar kampus agar sistem dibina ini lebih teratur, sistematik dan relevan dengan keperluan semasa.

"Garis panduan ini membabitkan lima skop penting, iaitu Pembangunan Pelajar Luar Kampus, Perkhidmatan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Kebajikan Pelajar Luar Kampus, Pengurusan Rumah Sewa Luar Kampus serta Jaringan Kemasyarakatan," katanya.

Berita Harian X