Sabtu, 27 Februari 2021 | 7:01pm
Pekerja swasta, Aimy Ahmad, 33 melakukan pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 di aplikasi MySejahtera sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kediamannya di Bandaraya Melaka. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN
Pekerja swasta, Aimy Ahmad, 33 melakukan pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 di aplikasi MySejahtera sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kediamannya di Bandaraya Melaka. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

Lebih sejuta daftar suntik vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 1,257,594 individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di aplikasi MySejahtera, sehingga jam 3 petang tadi.

Jumlah terkini itu dimaklumkan dalam satu hantaran secara harian menerusi akaun Facebook rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah pendaftaran secara dalam talian ialah melalui laman web khas www.vaksincovid.gov.my.

Orang ramai turut boleh melakukan pendaftaran dengan menghubungi talian hotline atau hadir di fasiliti klinik kesihatan awam serta swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula Selasa lalu menerusi aplikasi MySejahtera.

Kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di negara ini.

Menurut Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahupun manual adalah sama merangkumi 18 langkah.

Berita Harian X