Rabu, 24 Februari 2021 | 6:14pm
Kakitangan Pusat Perubatan 'Management Science University' (MSU) menyaksikan siaran langsung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini. - Foto BERNAMA
Kakitangan Pusat Perubatan 'Management Science University' (MSU) menyaksikan siaran langsung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini. - Foto BERNAMA

Vaksinisasi di negeri secara berperingkat

PUTRAJAYA: Proses vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1, akan dilaksanakan 532 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara berperingkat-peringkat di setiap negeri.

Menteri Penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin, berkata ini berikutan bukan semua PPV sudah menerima vaksin COVID-19 kerana jumlah dos vaksin yang diterima daripada pembekal terhad, ketika ini.

Beliau berkata, jumlah vaksin akan meningkat dari semasa ke semasa mengikut jadual penghantaran yang diumumkan, sebelum ini.

"Segala persiapan di seluruh negara sedang dijalankan dengan rapi dan kami percaya bahawa apabila dimulakan di negeri masing-masing, kita menjangka ia akan berlangsung dengan lancar dan selamat," katanya dalam sidang media selepas pelancaran program berkenaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, hari ini.

Muhyiddin menerima suntikan pertama vaksinasi COVID-19 hari ini, bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas barisan hadapan kesihatan.

Khairy berkata, Selangor akan memulakan vaksinisasi esok, diikuti Pahang, Sarawak dan Terengganu (Jumaat ini), Wilayah Persekutuan Labuan (Sabtu ini) Kedah (Ahad ini), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Johor, Perak dan Perlis (Isnin depan), Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan (Selasa depan) dan Sabah (Khamis depan).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, persiapan sedang dilaksanakan di semua PPV yang termasuk mengadakan simulasi dan pengujian sistem MySejahtera.

Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 boleh dibuat pada aplikasi MySejahtera. - Foto BERNAMA
Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 boleh dibuat pada aplikasi MySejahtera. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, semua pendaftaran yang dilaksanakan pada pemberian vaksin hari ini dilaksanakan melalui sistem MySejahtera, termasuk imbasan pada bebuli yang mengisi vaksin yang diberikan.

Sementara itu, Khairy berkata, pendaftaran tanggungan untuk vaksinasi COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera akan diperkenal pertengahan Mac ini.

Selepas diperkenal dalam aplikasi itu, beliau berkata, fungsi berkenaan akan membolehkan anak-anak mendaftarkan ibu bapa mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, bagi penerimaan vaksin.

Berita Harian X