Rabu, 24 Februari 2021 | 4:36pm

465,081 daftar sebagai penerima vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 465,081 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, menerusi aplikasi MySejahtera, setakat jam 2.45 petang tadi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata individu yang mendaftar akan mendapat pengesahan tarikh dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dua minggu sebelum tarikh ditetapkan.

Katanya, tarikh serta masa untuk menerima vaksin masih tertakluk kepada fasa yang ditetapkan sebelum ini, iaitu Fasa 1 untuk petugas barisan hadapan; Fasa 2 untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu berisiko tinggi dan Fasa 3 bagi penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

"Jangan khuatir atau bimbang jika anda belum menerima apa-apa maklumat temu janji, dalam masa terdekat kerana ia akan diberikan secara berperingkat selaras dengan fasa vaksinasi yang dikenal pasti untuk seseorang individu itu.

"Semua maklumat diterima menerusi pendaftaran akan diproses bagi membolehkan kami menyediakan senarai penduduk di Malaysia mendapatkan vaksinasi mengikut keutamaan.

"Contohnya, sekiranya anda layak berada dalam fasa kedua, anda akan diberi temu janji lebih awal, jika dibandingkan dengan mereka yang lain.

"Bagi individu lain, keutamaan pemberian vaksin pada Fasa 3 berpandukan zon lokasi tempat tinggal anda sama ada merah, kuning atau hijau seperti yang dinyatakan dalam Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Bagi pendaftaran tanggungan untuk vaksinasi menerusi MySejahtera, Khairy berkata, kemudahan itu akan tersedia pada pertengahan bulan depan, sekali gus anak-anak boleh mendaftarkan ibu bapa yang tidak mempunyai MySejahtera sebagai penerima vaksin.

"Pendaftaran melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my dan talian hotline akan bermula pada 5 Mac depan, manakala pendaftaran secara manual juga akan diperkenal di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

"Kita juga akan menggerakkan sukarelawan untuk menjayakan program bantuan bagi kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya.

Mengulas dakwaan hanya pengguna iOS sahaja yang boleh mendaftar, Khairy berkata, tuduhan itu tidak benar kerana pihaknya menghantar permohonan mengemas kini aplikasi MySejahtera untuk semua sistem operasi telefon bimbit pada waktu yang sama.

Katanya, semua platform, sama ada iOS, Android atau Huawei mengambil tempoh masa yang berbeza untuk memaparkan perubahan yang dibuat, dan hari ini, kemas kini boleh didapati di semua platform berkenaan.

"Kepada yang belum lagi memuat turun aplikasi atau mengemas kini MySejahtera, anda bolehlah berbuat sedemikan selepas ini.

"Setelah anda berjaya mengemas kini aplikasi MySejahtera, logo Vaksinasi COVID-19 akan terpapar dan seterusnya ikut sahaja arahan yang dinyatakan, iaitu pengguna perlu mengesahkan maklumat dan menjawab beberapa soalan, berkaitan kesihatan diri sebelum menekan butang hantar.

"Maklumat itu akan dipadankan dengan maklumat yang terkumpul dalam MySejahtera, seperti rekod kesihatan daripada pusat kesihatan kerajaan mahu pun swasta," katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, jika semua lokaliti di Malaysia kembali kepada zon hijau dalam tempoh terdekat, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan membuat penilaian risiko untuk menentukan keutamaan penerima vaksin, dengan mengambil kira faktor kepadatan penduduk serta kebarangkalian berlakunya penularan dalam sesuatu lokaliti.

Katanya, penilaian risiko itu bagi membolehkan CITF merancang faktor logistik, terutamanya bekalan stok vaksin serta kerahan sumber manusia, termasuklah untuk menyediakan pusat vaksinasi berskala besar.

Kakitangan Kementerian Kesihatan membawa vaksin COVID-19 ke Pusat Pemberian Vaksin Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Kakitangan Kementerian Kesihatan membawa vaksin COVID-19 ke Pusat Pemberian Vaksin Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X