Selasa, 16 Februari 2021 | 10:21am
 Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. - Foto fail NSTP
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. - Foto fail NSTP

DAP jangan menghukum sebelum siasatan selesai

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan DAP supaya tidak

menghukumnya sebelum siasatan polis selesai.

Beliau berkata, tindakan menghukum itu sememangnya cara DAP.

"Tak perlu DAP nak menghukum sebelum siasatan kerana itu cara DAP. Biar polis teruskan siasatan tanpa fear or favour (takut dan pilih kasih).

"Dapatkan fakta...sayakah menganjurkan jamuan? Di kedai? Restoran atau dalam farm (kebun)? Prosedur operasi standard (SOP) mana yang dilanggar...polis wajib buat keputusan," katanya dalam satu hantaran di Twitter beliau, hari ini.

Turut disertakan dalam hantaran itu ciapan DAP dalam Twitter yang antara lain mempersoalkan tindakan Annuar yang dikatakan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mahu Annuar dikenakan tindakan tegas seperti rakyat biasa yang lain.

Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meminta tindakan tegas dikenakan kepada Annuar dan memintanya meminta maaf secara terbuka.

Sebelum ini, tular satu gambar menunjukkan Annuar dan beberapa individu sedang duduk menjamu makanan di meja melebihi dua orang, mendapat kecaman netizen yang mempersoalkan arahan pematuhan SOP oleh mereka yang hadir.

Ahli Parlimen Ketereh itu dalam Facebook beliau kemudian memaklumkan terpaksa beredar dari meja makan itu lebih awal berikutan kegagalan penganjur mematuhi arahan SOP.

Susulan kejadian itu juga, satu surat arahan dikeluarkan pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh semalam meminta kehadiran pegawai dan orang ramai mesti tidak melebihi 10 orang dalam aktiviti yang dihadiri menteri.

Surat itu juga memaklumkan, tiada jamuan makan dan minum disediakan, malah semua pihak yang hadir perlu memastikan penjarakan satu meter dipatuhi.

Rentetan itu, penganjur program pertanian yang dihadiri Annuar memohon maaf berikutan kegagalan pihaknya mematuhi SOP ditetapkan dalam PKP.

Pengerusi Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah, Mohd Zainuddin Amran mengakui kelemahan pihaknya, namun menjelaskan ia hanya berlaku dalam tempoh singkat.

Berita Harian X