Khamis, 11 Februari 2021 | 2:22pm

2 pesakit COVID-19 curi telefon bimbit di MAEPS ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri empat unit telefon bimbit milik pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pegawai perubatan satu daripada dewan di pusat kuarantin berkenaan terdengar berlaku kekecohan dalam kalangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, berkata susulan itu pegawai dan petugas perubatan terbabit mengaktifkan kod oren dengan meminta bantuan anggota polis bertugas bagi meredakan keadaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati berlaku kes kecurian telefon bimbit dalam kalangan pesakit di pusat kuarantin itu.

"Dalam kejadian itu, beberapa pesakit lain menahan dua lelaki berusia 24 tahun dan 40-an yang juga pesakit di dewan kuarantin sama disyaki terbabit dalam kes kecurian telefon bimbit.

"Pegawai perubatan turut menemui empat unit telefon bimbit yang disyaki dicuri itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, kedua-dua suspek kemudian dipindahkan ke dewan lain bagi tujuan keselamatan.

"Berdasarkan rekod tempoh kuarantin, seorang daripada suspek itu akan mengakhiri tempoh rawatan kuarantin pada hari ini, manakala seorang lagi berusia 24 tahun akan dilepaskan dari kuarantin esok.

"Kedua-dua mereka akan ditahan oleh pihak polis sebaik dilepaskan dari pusat kuarantin," katanya.

Terdahulu, tular satu video menerusi aplikasi Tik Tok dipercayai dirakam pesakit yang dikuarantin menunjukkan seorang daripada suspek dibawa keluar oleh pihak polis lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Tangkap layar di video Tik Tok menunjukkan polis menahan suspek kerana disyaki mencuri telefon bimbit pesakit COVID-19
Tangkap layar di video Tik Tok menunjukkan polis menahan suspek kerana disyaki mencuri telefon bimbit pesakit COVID-19
Berita Harian X