Isnin, 8 Februari 2021 | 4:57pm
 Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP

Anwar mohon rujuk persoalan semakan kehakimannya kepada Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung semakan kehakimannya terhadap keputusan kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.

Persoalan dikemukakan untuk dipertimbang Mahkamah Tinggi bagi dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada keputusan menasihati dan/atau nasihat yang diberikan Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah klausa penggulingan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua ialah sama ada keputusan untuk memberi nasihat dan/atau nasihat yang diberikan Kabinet yang diketuai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen, boleh disemak semula oleh mahkamah.

Anwar juga mahu mahkamah memutuskan sama ada Seksyen 39(2) Akta Malaysia 1963, Seksyen 15(d) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981 dan Perkara 150 (6) serta 8) Perlembagaan Persekutuan tidak konsisten dan/atau bertentangan dengan Perkara 4, 5, 8 dan 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah memutuskan sama ada bidang kuasa mahkamah termasuk kuasa menyemak semula prosedur, dapat dihalang sepenuhnya oleh perundangan.

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh berkata, mengambil kira kesegeraan isu itu, khususnya disebabkan Parlimen kini digantung, beliau turut memfailkan perakuan kesegeraan untuk isu itu didengar secepat mungkin.

"Saya berpendapat persoalan berbangkit itu harus diputuskan Mahkamah Persekutuan," katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 25 Januari lalu, menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.

Ketua Pembangkang berusia 74 tahun itu memohon perisytiharan bahawa keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang menyebabkan penggantungan Parlimen, sebagai bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak efektif.

Beliau turut memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden untuk memberikan nasihat yang berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

Berita Harian X