Ahad, 31 Januari 2021 | 5:44pm

Rawatan Islam, tradisional rawat COVID-19 perlu kajian - Dr Noor Hisham

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan sebarang bentuk perubatan Islam dan tradisional bagi merawat pesakit COVID-19 perlu dibuktikan keberkesanannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia mestilah berdasarkan kepada dalil kukuh dan bukti boleh diguna pakai.

Beliau berkata, perlu ada kajian untuk mengetahui keberkesanan dan juga kesan sampingan perubatan tradisional yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

"Contohnya, apabila kita menggunakan vaksin ia perlu kepada kajian fasa klinikal yang ketiga barulah kita boleh melihat kesan sampingan dan keberkesanan vaksin berkenaan, begitu juga dengan kaedah rawatan Islam yang digunakan dan perlu dilaksanakan kajian terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan EXCO Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kelantan, Hilmi Abdullah mencadangkan selain rawatan moden, perubatan secara Islam juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk dipertimbangkan oleh kerajaan bagi merawat pesakit COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, situasi semasa jangkitan COVID-19 di Kelantan tidak memerlukan pertambahan PKRC sebaliknya apa yang diperlukan adalah peralatan dan juga petugas.

"Setakat ini di Kelantan masih belum ada keperluan untuk menambah PKRC disebabkan PKRC yang ada sekarang masih ada keupayaan untuk menampung jumlah pesakit COVID-19 dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, namun perlu dipertingkatkan dari aspek sumber manusia dan peralatan perubatan.

"PKRC di PUTIK masih belum penuh dan ada keupayaan untuk menampung pesakit COVID-19 tetapi jika perlu kita boleh tambah di daerah lain.

"Selain itu, di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai masih ada lima ruang Unit Rawatan Rapi (ICU) yang kosong, cumanya kita memerlukan peralatan dan kepakaran serta jururawat yang terlatih untuk ditempatkan di situ," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin Husin tiga kiri) bersama anggota Kementerian Kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin Husin tiga kiri) bersama anggota Kementerian Kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X