Sabtu, 30 Januari 2021 | 9:43pm
Polis menahan 11 warga asing disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan pelaburan saham sejak dua tahun lalu.- Foto/NSTP
Polis menahan 11 warga asing disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan pelaburan saham sejak dua tahun lalu.- Foto/NSTP

16 individu ditahan tipu pelaburan saham tidak wujud

KUALA LUMPUR: Seramai 16 individu warga asing termasuk lima wanita ditahan semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan saham dalam talian di lima unit kondominium di Bukit Bintang di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua suspek membabitkan 11 lelaki dan empat wanita warga China serta seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 47 tahun.

Beliau berkata, pihaknya merampas 26 telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer riba, tiga unit modem, 10 keping kad bank dan wang tunai RM53,678 serta beberapa mata wang asing dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu.

"Siasatan mendapati semua suspek daripada dua sindiket berasingan itu aktif sejak dua tahun lalu dengan menyewa kondominium dengan sewa bulanan antara RM18,000 hingga RM30,000 seunit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu menyasarkan mangsa dari China dengan menawarkan pelaburan saham dalam talian dan pelaburan tidak wujud.

Katanya, semua suspek direman empat hari hingga 2 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Berita Harian X