Rabu, 27 Januari 2021 | 11:28am
Mohd Khairul mahu sistem perkhidmatan awam diperbaiki kerana ada kakitangan yang berada di kampung.-/ Foto NSTP
Mohd Khairul mahu sistem perkhidmatan awam diperbaiki kerana ada kakitangan yang berada di kampung.-/ Foto NSTP

Kerajaan perkemas sistem kehadiran penjawat awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkemaskan sistem pemeriksaan kehadiran penjawat awam di pejabat kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berterusan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata ini berikutan masih terdapat lompang yang perlu diperbaiki dalam sistem berkenaan dan yakin ia dapat diatasi segera.

Katanya, ketika PKP fasa pertama pada Mac 2020 yang berlaku pada musim cuti sekolah, kebanyakan ibu bapa berada di kampung dan pihaknya perlu menguruskan kakitangan untuk dapat pulang ke stesen kerja masing-masing.

"Tetapi berbeza PKP kali ini yang bukan pada musim cuti sekolah, namun ada yang mengambil kesempatan pulang ke kampung, jadi kita minta semua ketua jabatan membuat pemeriksaan rambang.

"Justeru bagi memastikan penjawat awam berada di kediaman masing-masing dan boleh segera hadir bertugas apabila diminta ketua jabatan, beberapa kaedah seperti menunjukkan lokasi keberadaan dan membuat panggilan video turut digunakan," katanya menerusi satu hantaran yang dipetik di laman sosial Majlis Keselamatan Negara (MKN), di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kerajaan melaksanakan mobilisasi sumber perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri bagi membantu agensi yang memerlukan perkhidmatan mendesak untuk mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata, langkah ini termasuk penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang memerlukan perkhidmatan tambahan, terutama bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Selain itu, katanya, penggunaan aset kerajaan kurang optimum seperti kenderaan jabatan boleh dikongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan terselaras.

Mohd Khairul berkata, walaupun penjawat awam dibenarkan bekerja dari rumah (BDR), ketua jabatan pada bila-bila masa boleh mengarahkan mereka hadir bertugas di pejabat.

"BDR ini perubahan baharu dalam persekitaran cara bekerja sektor awam yang mana petugas boleh BDR apabila mendapat arahan daripada kerajaan atau mendapat arahan serta kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing," katanya.

Berita Harian X