Isnin, 25 Januari 2021 | 10:49pm
MPPK berpandangan pelajar berdepan masalah belajar yang tidak kondusif sesuai pulang ke kampus. FOTO NSTP (Hiasan)
MPPK berpandangan pelajar berdepan masalah belajar yang tidak kondusif sesuai pulang ke kampus. FOTO NSTP (Hiasan)

Pelajar berkeperluan khusus sesuai pulang ke kampus - MPPK

KUALA LUMPUR: Hanya pelajar berkeperluan khusus disarankan untuk kembali ke kampus masing-masing sebaik pengajian dibuka bermula 1 Mac ini.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata pihaknya tiada masalah dengan ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar kembali ke kampus pada tarikh berkenaan.

"Kita sudah maklumkan kepada KPT sewajarnya hanya pelajar berkeperluan seperti suasana pembelajaran tidak kondusif, termasuk masalah capaian internet pulang ke kampus," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, perbincangan maya membabitkan 38 pemimpin pelajar universiti awam (UA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, institut pendidikan guru (IPG) serta kolej komuniti dari seluruh negara bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, diadakan hari ini bagi meneliti perkara itu.

Muhammad Amir Asyraf berkata, semua pihak menyatakan pandangan dan pendirian kepada menteri, iaitu hanya yang benar-benar perlu pulang ke kampus dibolehkan kembali.

"Tempoh 10 hari sebelum kembali seperti disaran KPT memadai bagi membolehkan pihak universiti membuat persiapan rapi dari segi tempat kuarantin dan hal kebajikan lain.

"Kita juga tidak mahu keadaan di asrama terlalu sesak sehingga menyukarkan penjarakan fizikal," katanya.

Beliau berkata, ketetapan itu diperoleh MPPK hasil tinjauan ke atas lebih 25,000 mahasiswa yang melihat kebimbangan situasi semasa negara berikutan kadar peningkatan kes COVID-19 yang tinggi setiap hari.

Katanya, mereka meminta pandangan sama ada pelajar berasa selamat kembali ke kampus dengan sebahagian kawasan berada dalam Zon Merah.

"Sepanjang semester ini, kami dapat meneruskan pengajian di luar kampus, ia sudah menjadi kebiasaan baharu kepada mahasiswa," katanya.

Muhammad Amir turut mengucapkan terima kasih kepada Noraini kerana mendengar pandangan, keluh-kesah serta hasrat mahasiswa berhubung kemasukan pelajar pada Mac ini.

Berita Harian X