Jumaat, 22 Januari 2021 | 2:44pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun M saran pesakit risiko rendah dikuarantin berasingan daripada keluarga. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad
Tun M saran pesakit risiko rendah dikuarantin berasingan daripada keluarga. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

'Kuarantin di rumah undang risiko jangkitan kepada keluarga'

KUALA LUMPUR: Individu yang disahkan positif COVID-19 dan tidak mengalami gejala teruk di peringkat awal perlu dikuarantin di tempat berasingan daripada keluarganya.

Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ia bagi mengelak ahli keluarga turut dijangkiti, biarpun langkah itu dibuat berikutan fasiliti kesihatan yang semakin sesak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pesakit sepatutnya hanya perlu dibenar pulang ke rumah sebaik disahkan bebas daripada wabak berkenaan.

Beliau berkata baru-baru ini seorang daripada ahli keluarganya dijangkiti COVID-19 namun tidak dimasukkan ke hospital kerana tidak teruk sebelum diarah kuarantin di rumah.

"Tetapi ketika di rumah keadaannya menjadi teruk sehingga tidak dapat bernafas. Maka dia pun dimasukkan ke hospital.

"Masalahnya ketika dia berada di rumah, penyakitnya dijangkitkan kepada ahli keluarga di rumah. Saya percaya dia tidak dapat dimasukkan ke hospital awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4,000 kes dikesan," katanya dalam satu kenyataan di blog beliau.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di MAEPS Serdang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di MAEPS Serdang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dr Mahathir turut menyatakan kebimbangan jangkitan merebak di pusat kuarantin berikutan jarak katil pesakit terlalu dekat dan pesakit berkumpul apabila pemimpin mengadakan lawatan.

"Sudah tentu tempat kuarantin hendaklah sesuai. Dari gambar yang diperoleh katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar pesakit akan berkumpul. Ini akan menyebabkan jangkitan merebak," katanya

Beliau berkata, pelbagai cara dan amalan yang boleh digunakan bagi mengurangkan jumlah kes jangkitan.

"Diharap doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan. Khidmat Ketua Pengarah Kesihatan amat dihargai. Tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang saja," katanya.

Penggunaan katil pesakit COVID-19 di Hospital Lahad Datu mencapai tahap 91.4 peratus membabitkan seramai 128 pesakit. - Foto Bernama
Penggunaan katil pesakit COVID-19 di Hospital Lahad Datu mencapai tahap 91.4 peratus membabitkan seramai 128 pesakit. - Foto Bernama

Berita Harian X