Khamis, 21 Januari 2021 | 6:17pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Capaian internet lemah sukarkan guru laksana PdPR

SEREMBAN: Guru tidak kenal murid Tahun Satu dan sebaliknya bukan menjadi isu utama kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Sebaliknya, masalah capaian internet, data dan alat peranti di kalangan murid daripada keluarga kurang berkemampuan antara yang menjadi kekangan kepada guru.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata kerajaan perlu meningkatkan lagi capaian internet terutama di kawasan pinggir bandar dan pedalaman untuk memastikan pelaksanaan PdPR lebih berkesan.

Katanya, kerajaan juga diharap dapat menangani masalah penyediaan alat peranti pada murid yang memerlukan.

"Bila kita mulakan kaedah PdPR ini perkara utama yang menjadi masalah ialah akses capaian internet yang lemah. Namun guru-guru terpaksa menerima hakikat bahawa itu sahaja pilihan yang mereka ada untuk memastikan murid dapat meneruskan pelajaran.

"Kita sudah ada pengalaman setahun dalam menjalankan PdPR dan ia amat membantu kepada guru dalam membuat persiapan yang lebih baik," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Azizee berkata, medium Telegram atau WhatsApp menjadi sumber utama untuk sesi suaikenal antara guru dengan murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan secara dalam talian.

Beliau berkata, ibu bapa perlu menjadi guru kedua di rumah dengan membantu anak masing-masing mengikuti sesi PdPR berkenaan.

"Ia akan mengambil masa sedikit untuk murid membiasakan diri dengan pembelajaran secara PdPR ini kerana ia jauh dari kebiasaan dan guru perlu merancang proses pengajaran dengan kaedah yang terbaik," katanya.

Beliau menggesa guru membuat persediaan yang cukup termasuk perlu meningkatkan lagi penguasaan kemahiran digital, untuk memastikan pelaksanaan PdPR dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, tempoh pelaksanaan PKP sukar dijangka dan usaha memutuskan rantaian

penularan wabak pandemik COVID-19 terus diperhebatkan.

"Kita tidak dapat jangka bilakah sesi PdP secara bersemuka dapat diadakan. Justeru semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam memastikan pelaksanaan PdPR.

"Murid perlu diberikan motivasi untuk belajar meskipun berhadapan dengan kekangan tetapi itu sahaja yang kita mampu buat ketika ini.

Berita Harian X