Khamis, 21 Januari 2021 | 11:53am

Polis siasat dakwaan 'mini casino' dalam pusat rawatan COVID

SEPANG: Polis membuka kertas inkuiri, bagi menyiasat dakwaan berlakunya aktiviti judi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang seperti yang tular menerusi media baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kertas inkuiri itu dibuka selepas menerima laporan mengenai kejadian terbabit daripada seorang anggota bertugas di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, Sepang hari ini.

"Kertas inkuiri ini dibuka bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut (mengenai kejadian itu) selain untuk pemantapan pemeriksaan pesakit di MAEPS," katanya hari ini.

Tular di media sosial beberapa hari lepas kononnya wujud aktiviti judi di sebuah dewan PKRC, MAEPS di Serdang yang menempatkan pesakit COVID-19.

Menerusi beberapa video berdurasi lima hingga 10 saat, terdapat beberapa pesakit sedang bermain daun terup dan warganet menyifatkan tempat itu kini umpama mini kasino.

– BERNAMA

Berita Harian X