X
Rabu, 20 Januari 2021 | 10:53am
MUHYIDDIN mengumumkan Pakej PERMAI yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial.
MUHYIDDIN mengumumkan Pakej PERMAI yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial.

Impak PKP terhadap ekonomi terkawal

Kuala Lumpur: "Kerajaan menjangkakan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini terhadap ekonomi negara masih terkawal dan tidak sama seperti suku kedua 2020," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ia kerana lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi pada PKP bermula 13 Januari lalu itu dan pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia.

"Kita sudah menyaksikan kesan pelaksanaan PKP (terdahulu) ke atas pertumbuhan ekonomi yang mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 mencatat kemerosotan yang sangat ketara dan kadar pengangguran juga sudah meningkat.

"Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil, iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus pada suku kedua kepada suku ketiga 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial, semalam.

Katanya, sejak bermula penularan COVID-19 pada awal tahun lalu, kerajaan sudah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada KDNK bagi membantu rakyat serta perniagaan, selain turut melindungi ekonomi negara.

Muhyiddin yakin Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI akan terus merancakkan penggunaan, manakala projek dan program berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar juga akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi.

"Oleh itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal. Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sedar pelaksanaan PKP, disusuli Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos ini mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan.

"Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

"Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah terbabit ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah, kita suah melihat sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.

"Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada, berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat," katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Berita Harian X