Isnin, 18 Januari 2021 | 5:39pm
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - Foto: NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. - Foto: NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ.

Bantuan PERMAI: Tindakan segera kerajaan tangani impak PKP 2.0 - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion oleh kerajaan hari ini tepat pada masanya dalam memastikan pemulihan ekonomi berterusan di tengah-tengah pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, demikian kata penganalisis.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pengumuman bantuan PERMAI itu menunjukkan tindakan segera kerajaan dalam memastikan aktiviti ekonomi terus disokong secara berterusan, di samping bantuan dalam sektor kesihatan dalam mengekang pandemik.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai dana untuk membiayai bantuan RM15 bilion itu kerana kebanyakannya datang dari peruntukan yang telah diluluskan di bawah Belanjawan 2021, sekali gus bantuan berkenaan dilihat tidak akan menjejaskan kedudukan defisit negara.

"Saya berpendapat pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion ini tepat pada masanya kerana tindakan segera dari segi bantuan dan suntikan fiskal secara langsung adalah penting untuk memastikan aktiviti ekonomi terus disokong, di samping bantuan berterusan untuk sektor kesihatan dan golongan yang terjejas terutamanya golongan rentan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH bagi mengulas mengenai pengumuman bantuan PERMAI itu kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin juga turut bersetuju bahawa pengumuman pakej bantuan PERMAI yang mempunyai 22 inisiatif itu tepat pada masanya dan mempunyai penumpuan yang strategik, iaitu memfokus kepada pemerkasaan sektor kesihatan, menjaga kebajikan rakyat terutamanya yang begitu terkesan akibat daripada pengenalan semula PKP 2.0, dan juga kelangsungan perniagaan.

Namun begitu, beliau berkata, kerajaan perlu teruskan pemantauan dan juga maklum balas daripada rakyat dari masa ke semasa kerana gelombang fasa ketiga pandemik COVID-19, keadaan dan situasi begitu sukar untuk dijangka.

Katanya, pemantauan pelaksanaan pakej bantuan itu adalah penting terutamanya dalam masa menunggu program vaksin yang dijangka akan dilancarkan dalam masa yang terdekat.

"Kerajaan masih mempunyai dana untuk menampung perbelanjaan pakej bantuan khas ini kerana prospek pertumbuhan ekonomi yang dijangka lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lalu, di samping pinjaman yang boleh dilakukan terutamanya melalui sumber dana tempatan.

"Kadar defisit negara juga dijangka masih terkawal. RM15 bilion dianggarkan bersamaan dengan penambahan dalam satu peratus defisit negara. Justeru, kesannya (pakej bantuan PERMAI) ini kepada kedudukan fiskal negara pada ketika ini adalah tidak begitu membimbangkan," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata bantuan dan insentif itu adalah sesuatu yang perlu dilakukan memandangkan kesan pelaksanaan pelbagai bentuk PKP yang bakal memberi kesan kepada ekonomi.

Dari sudut kemampuan, beliau menjelaskan, kerajaan sememangnya mampu untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan dana yang diperoleh adalah dari sumber domestik, yang mana daripada pelabur institusi seperti dana pencen, syarikat insurans, institusi perbankan, bank pusat serta pengurus dana.

"Dari segi defisit, ia mungkin kekal melebar pada tahun ini dan seterusnya. Justeru, apabila ekonomi mula pulih, mungkin pada tahun depan, maka strategi untuk mengecilkan defisit fiskal ini perlu dilaksanakan supaya kewangan kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik terutama persediaan menghadapi sebarang kemungkinan atau ancaman kelembapan ekonomi pada tempoh yang akan datang," katanya.

Berita Harian X