Isnin, 18 Januari 2021 | 4:10pm

Kerajaan lancar pakej PERMAI RM15 bilion

KUALA LUMPUR: Bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion.

Pakej bantuan terbaru itu akan dilaksanakan menerusi 22 insiatif dengan tiga matlamat, iaitu memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Ia adalah tambahan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan COVID-19 pada awal tahun lalu yang berjumlah keseluruhan RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Empat pakej bantuan terdahulu adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan keempat, pakej KitaPrihatin.

Pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion dilaksanakan pada Mac 2020 dan PRIHATIN PKS Tambahan bernilai RM10 bilion diumumkan pada April 2020.

PENJANA yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion dilaksanakan pada Jun lalu, manakala pakej KitaPrihatin dengan peruntukan RM10 bilion pula dilaksanakan tiga bulan selepas itu.

Dalam pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, teras PERMAI masih kekal bertunjangkan usaha kerajaan bagi membantu rakyat, perniagaan dan melindungi ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
Berita Harian X