Sabtu, 16 Januari 2021 | 6:10pm
Menurut tinjauan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS), sekurang-kurangnya 80 peratus doktor di Malaysia pernah dibuli ketika berkhidmat di sektor awam. - Foto hiasan
Menurut tinjauan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS), sekurang-kurangnya 80 peratus doktor di Malaysia pernah dibuli ketika berkhidmat di sektor awam. - Foto hiasan

Kerajaan perlu tambah baik program latihan doktor pelatih

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menambah dana kepada hospital kerajaan untuk meningkatkan tahap latihan serta mengisi lebih banyak kekosongan di bawah program latihan doktor pelatih.

Malaysian Medics International (MMI) dalam satu kenyataan memaklumkan, ini bagi menyelesaikan pelbagai isu mendesak yang membelenggu kumpulan berkenaan ketika ini, dikhuatiri boleh mengganggu kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

"Pada 2018, perbelanjaan bagi kesihatan di Malaysia adalah 3.76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh lebih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain iaitu Filipina (4.40 peratus), Myanmar (4.79 peratus) dan Singapura, 4.46 peratus.

"Peningkatan peruntukan daripada kerajaan Malaysia diperlukan bagi mencipta lebih banyak peluang kerjaya di bawah program latihan doktor pelatih, kenaikan gaji serta kesejahteraan ketiga bertugas. Ini termasuk hak untuk mengurangkan waktu kerja tidak perlu," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) disaran merangka usaha untuk memperbaiki, melindungi serta menjaga kesejahteraan doktor pelatih, memandangkan banyak kes dilaporkan membabitkan mereka termasuk yang ditamatkan perkhidmatan secara tidak adil, mengalami masalah kesihatan mental sehingga ada yang mahu membunuh diri.

"Masalah ini memberi kesan negatif terhadap sistem penjagaan kesihatan kita. Doktor pelatih adalah mereka yang pertama merawat pesakit di hospital. Apabila doktor pelatih dilayan dengan teruk dan tiada sokongan diberi, rawatan kepada pesakit pasti akan terjejas.

"Menurut tinjauan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS), sekurang-kurangnya 80 peratus doktor di Malaysia pernah dibuli ketika berkhidmat di sektor awam. Daripada jumlah ini, 71 peratus mengalami gejala gelisah, hilang keyakinan dan pertimbangan, sementara 17 peratus sanggup membunuh diri," katanya.

Katanya, ramai juga dikalangan doktor pelatih berdepan waktu kerja tidak menentu namun tidak menerima bayaran tambahan sepetutnya, sehingga menyebabkan moral dan kualiti kerja mereka juga terjejas.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia kini sudah mencapai nisbah 1:500 doktor kepada pesakit, namun ia meningkat secara mendadak disebabkan kekurangan doktor baru.

"Ini mengalihkan perhatian kita dari banyak petunjuk sebenar yang mengukur kualiti sistem penjagaan kesihatan kita. Sistem penjagaan kesihatan kita mesti berusaha melatih doktor baru dan mengekalkan pakar sedia ada untuk melindungi kesejahteraan rakyatnya," katanya.

Justeru katanya, semua pihak termasuk kerajaan dan badan berkepentingan perlu bersama membina persekitaran kerja yang kondusif untuk semua pengamal perubatan termasuk doktor pelatih bagi meningkatkan kesejahteraan doktor baru serta mengukuhkan lagi tahap perkhidmatan kesihatan di negara ini.

"Doktor baru hari ini adalah peneraju kepada penjagaan kesihatan hari esok. MMI sangat percaya bahawa perubahan diperlukan untuk kumpulan ini demi untuk perkhidmatan kesihatan kami dan untuk rakyat kami.

Berita Harian X