Sabtu, 16 Januari 2021 | 4:25pm
 Petugas melakukan persiapan wad tambahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Petugas melakukan persiapan wad tambahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

COVID-19: PKRC 2.0 mula beroperasi Isnin ini

SERDANG: Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 akan ditingkatkan dan mampu menampung sehingga 10,000 pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika mengumumkan perkara itu berkata, penambahbaikan aspek kemampuan PKRC 2.0 menerusi pembukaan sebuah dewan baharu akan mula beroperasi Isnin ini.

Katanya, dewan D1 itu berupaya menempatkan 1,400 pesakit lelaki dan wanita dalam kalangan rakyat tempatan atau seisi keluarga yang disahkan sebagai positif kategori satu dan dua wabak COVID-19.

"Kita membuka dewan baharu ini untuk menempatkan seisi keluarga sekiranya mereka didapati positif COVID-19 dan berada dalam kategori satu atau dua.

"Dengan cara ini, kita dapat kurangkan tekanan emosi dan mental dialami pesakit sekiranya mereka dipisahkan daripada ahli keluarga," katanya pada sidang media selepas meninjau PKRC 2.0, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Menerusi tinjauan, Dr Adham berkata, aspek kemudahan yang disediakan di PKRC 2.0 cukup selesa dan mampu menyokong kadar penyembuhan pesakit.

Meskipun ditempatkan dalam kumpulan yang ramai, beliau meminta pesakit saling menjaga dan memastikan keadaan di PKRC 2.0 terus selesa serta selamat.

"Bilangan petugas di PKRC 2.0 akan ditambah, mencakupi semua agensi terutama Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Berita Harian X